My Add

Wednesday 10 July 2013

Perbanyak penerbangan ke Labuan

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan mendarat di Labuan serta meningkatkan kekerapannya bagi memajukan lagi sektor pelancongan di wilayah itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, langkah yang diambil termasuk mengadakan rundingan udara dua hala dengan negara asing bagi mewujudkan hak trafik penerbangan antara Malaysia dan negara berkenaan.

"Sebagai contoh, bulan lepas pihak kementerian memeterai perjanjian udara dengan kerajaan United Kingdom di London bagi membolehkan syarikat penerbangan dari United Kingdom terbang dan mendarat di mana-mana destinasi di Malaysia termasuk Labuan," katanya ketika menjawab soalan Rozman Isli (BN-Labuan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rozman ingin tahu langkah yang diambil Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dan menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan mendarat di Labuan bagi meningkatkan sektor pelancongan di Labuan yang mempunyai sebuah lapangan terbang yang besar dan moden.

Kata Aziz, langkah lain ialah memasukkan Labuan sebagai antara destinasi yang diliberalisasikan di bawah Perjanjian Multilateral Asean bagi Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Udara Penumpang.

"Di bawah perjanjian ini yang telah ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia pada tahun ini, syarikat penerbangan negara Asean dibenarkan untuk mengadakan penerbangan di antara mana-mana destinasi Asean tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat," katanya.

Aziz turut menjelaskan kerajaan akan mengadakan rundingan udara dengan Australia pada bulan depan untuk meningkatkan hak trafik penerbangan di seluruh negara termasuk Labuan sebagai destinasi penerbangan dari negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment