My Add

Monday 8 July 2013

Perluas kelas aliran agama

TUMPAT, AHAD, 07 Julai, 2013: Kelas aliran agama (KAA) akan terus diperluaskan di semua sekolah menengah kebangsaan (SMK) di seluruh negara selepas mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Abdullah Md. Din berkata, ekoran daripada itu, pihaknya terpaksa menambah bilangan kelas berkenaan bagi memenuhi permintaan dari golongan ibu bapa yang mahukan anak mereka mengikutinya.

Beliau berkata, pelajar yang mengikuti KAA akan mempelajari al-Quran dan Sunah, Bahasa Arab serta Syariah Islamiyah di samping mata pelajaran biasa seperti fizik, kimia dan biologi.

"Kejayaan pelaksanaan ini menyebabkan kita membuka kelas berkenaan di sekolah harian biasa dan sambutan amat membanggakan.

"Pendekatan ini membolehkan mereka mengikuti pengajian agama dan akademik secara serentak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali Kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Zahari Daud.

Pada majlis tersebut, kontinjen Selangor dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan yang berteraskan bahasa Arab itu.

Mengulas mengenai program tersebut, Abdullah memberitahu, penganjuran tersebut secara tidak langsung mampu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Arab serta al-Quran.

Tambahnya, melalui program itu juga, pihaknya dapat mencungkil bakat terpendam di kalangan pelajar sekali gus memberi kemahiran tambahan kepada pelajar terutama dari segi pengucapan awam.

"Sebanyak enam acara telah dijalankan sepanjang majlis ini berlangsung seperti tahfiz al-Quran, kuiz al-Quran dan kuiz bahasa Arab," ujarnya. - UTUSAN













Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130708/dn_25/Kementerian-Pendidikan-perluas-kelas-aliran-agama#ixzz2YOXKMdCW
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment