My Add

Sunday 7 July 2013

Permit import ayam bulat dibuka bagi stabil harga

SHAH ALAM, AHAD, 07 Julai, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuka serta-merta permit import ayam bulat bagi menstabilkan harganya di pasaran, sekali gus memenuhi permintaan yang meningkat sekali ganda menjelang musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian menggalakkan pengimportan ayam bulat dari negara lain seperti Australia dan benua Eropah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan ayam tempatan.

Beliau juga mahu penternak ayam meningkatkan pengeluaran ayam bulat daripada antara 1.4 juta dan 1.5 juta ekor sehari pada hari biasa kepada 2.2 juta hingga 2.4 juta ekor sehari, pada musim perayaan.

"Selain itu, harga ayam meningkat di beberapa kawasan disebabkan permintaan meningkat terutama daripada syarikat yang mengusahakan makanan segera yang sebelum ini mengimport bahagian ayam tertentu dari negara seperti China.

"Apabila China menghentikan eksport ayam disebabkan penularan wabak H7N9, syarikat berkenaan terpaksa mendapatkan bekalan di pasaran tempatan yang secara tidak langsung menyebabkan harga ayam meningkat ekoran permintaan tinggi," katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Sesetengah peniaga di kawasan Lembah Klang dilaporkan menjual ayam bulat dengan harga tinggi sehingga mencecah RM9 sekilogram.

Mengenai dakwaan ayam dijual pada harga tinggi atas alasan harga makanan ayam semakin mahal, beliau mengakui masalah itu berlaku disebabkan kebergantungan terhadap import makanan ayam dari negara seperti India dan Brazil. 

"Sebab itu saya arahan dikeluarkan supaya kajian dibuat untuk kita sendiri menjadi pengeluar makanan ayam, selain agensi di bawah kementerian, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dipertanggungjawab mengadakan usaha sama dengan rakan dagang dari India," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kementerian merancang mewujudkan 500 lagi pasar tani lagi di seluruh negara berbanding 508 pasar tani ketika ini untuk memenuhi sasaran 1,000 pasar tani menjelang 2020.

Mengenai cadangan untuk menukar pasar tani kepada pasar tani harian, beliau berkata pihaknya mempunyai perancangan melaksanakannya memandangkan ketika ini hanya terdapat dua pasar tani yang telah dijadikan pasar tani rakyat iaitu di Jerantut, Pahang dan Larkin, Johor.

Beliau juga berkata sebanyak 42 pasar tani di seluruh negara akan beroperasi setiap hari, sepanjang Ramadan iaitu Pasar Tani Harian, Pasar Tani Kekal, Pasar Tani Borong dan Desaraya dengan menawarkan harga lebih murah.

Katanya, antara produk terpilih ialah ayam standard dan tiga jenis ikan iaitu selayang, pelaling dan cencaru.

"Harga ayam dikurangkan sebanyak 70 sen seekor manakala harga tiga jenis ikan itu pula akan dikurangkan 50 sen kepada RM1 sekilogram. Sementara harga kobis, kelapa, tomato, cili dan timun ditawarkan antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment