My Add

Friday 26 July 2013

Polis Marin selamatkan 9 wanita warga asing

KOTA KINABALU, KHAMIS, 25 Julai, 2013: Tindakan pantas sepasukan anggota Polis Marin daerah Semporna berjaya menyelamatkan sebanyak sembilan wanita warga asing yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negeri ini awal pagi ini.

Tindakan itu berhasil selepas pasukan tersebut yang terdiri daripada lima anggota menahan sebuah bot panjang di pantai Kampung Panji, Semporna pada pukul 5.30 pagi.

Pemangku Komander Polis Marin Wilayah Sabah, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang menggunakan tiga enjin itu mendapati sembilan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 33 tahun cuba dibawa masuk ke negeri ini.

Menurutnya, bot tersebut telah dikesan semasa hendak mendarat di satu lokasi agak tersorok di Kampung Panji dengan membawa wanita dari negara jiran.

"Dalam tangkapan itu, polis turut menahan seorang juragan yang berusia lingkungan 30-an yang tinggal di Kampung Halo, Semporna dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Selain juragan itu, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun turut ditahan yang dipercayai warga asing dan bertindak sebagai pembantunya," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut Husaini, dalam tangkapan itu pihaknya merampas mata wang Filipina 28,500 Peso serta wang tunai RM2,605 daripada juragan bot terbabit.

"Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan bot yang menggunakan tiga buah enjin dan tangkapan kedua aktiviti penyeludupan wanita warga asing ke daerah Semporna bagi tempoh tiga bulan ini," katanya.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk secara tidak sah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Beliau memberitahu, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan di perairan negeri ini terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya lagi, maklumat daripada orang ramai sangat dialu-alukan bagi membolehkan pihaknya membanteras aktiviti dan kejadian jenayah di laut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment