My Add

Wednesday 17 July 2013

Polis tahan 4 lelaki terlibat culik ahli perniagaan

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Hasrat empat lelaki untuk berpesta dengan wang tebusan RM10,000 yang diperoleh daripada jenayah culik, tidak kesampaian apabila polis menahan kesemua mereka dalam dua serbuan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam serbuan pertama di kawasan perumahan di Kepong pukul 1 petang, polis menahan seorang lelaki yang membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki di sebuah hotel bajet di Sri Damansara sejam selepas itu.

"Kesemua suspek berumur 30 hingga 44 tahun. Dalam serbuan di hotel itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing dari China dan Vietnam yang ada bersama suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat suspek berkenaan ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian menculik seorang ahli peniagaan berusia 52 tahun yang sedang berjoging di Kepong di sini.

Chin Wah berkata, dalam kejadian 6 pagi semalam, mangsa dilarikan empat suspek dengan sebuah kereta sebelum meminta keluarga mangsa membayar wang tebusan RM20,000.

Beliau berkata, tindakan isteri dan anak mangsa yang melaporkan kejadian itu kepada polis telah menggagalkan usaha penjenayah berkenaan dan polis turut merampas sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar keluarga mangsa.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta Toyota Camry, Vios dan Honda Civic yang dipercayai disamun suspek di sekitar Lembah Klang selain beberapa bilah parang dan peralatan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya empat suspek berkenaan, polis kini memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun, peras ugut dan culik di sekitar ibu negara dan Selangor.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3, Akta Culik 1961. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment