My Add

Sunday 21 July 2013

PRK Kuala Besut: Hampir 80 peratus keluar mengundi awal\

KUALA BESUT, SABTU, 20 Julai, 2013: Peratusan keluar mengundi pada pengundian awal bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini adalah 79.36 peratus.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata selepas tempoh pengundian awal tamat tepat 5 petang ini, hanya 911 daripada keseluruhan 1,148 anggota tentera dan pasangan serta polis yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

Pusat pengundian awal di TUDM Gong Kedak membabitkan dua peti undi yang akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini sehingga hari penjumlahan rasmi undi Rabu ini (24 Julai).
Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

SPR menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi 16,534 pemilih biasa. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment