My Add

Monday 22 July 2013

Razali tidak akan lawan Khairy

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

* RAZALI Ibrahim (tengah) mengacau bubur lambuk selepas merasmikan Program Rakan Muda Masyarakat Bubur Lambuk Daerah Muar di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.
MUAR, AHAD, 21 Julai, 2013: Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim tidak akan menentang Khairy Jamaluddin sekiranya Ketua Pemuda itu mahu mempertahankan jawatan tersebut yang dipegang sejak 2008 dalam pemilihan parti hujung tahun ini.

Menurutnya, perkara itu telah dinyatakannya kepada pergerakan berkenaan sebelum ini.

"Itupun kalau Khairy nak bertanding, kalau dia tak nak bertanding itu sudah soal lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Rakan Muda di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Malah beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, soal mencabar jawatan Ketua Pemuda itu sebenarnya pun belum difikirkan kerana masih terlalu awal.

"Saya belum fikir untuk terus bersama Pergerakan Pemuda UMNO atau memberi tumpuan di kawasan saya iaitu UMNO Bahagian Muar.

"Buat masa ini saya masih terlalu memikirkan keputusan pilihan raya umum lalu dan mencari kaedah yang terbaik untuk kukuhkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pemuda UMNO Johor dalam mesyuarat khasnya kelmarin, yang mahu pemilihan Pemuda UMNO pada perhimpunan agung parti akan datang dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan.

Khairy dalam reaksinya semalam turut menyokong cadangan itu dan jika majoriti anggota parti mahukan demikian, pemilihan terbuka wajar diadakan bagi menghormati suara dan kehendak mereka.

Razali pula berkata, semua ahli pergerakan sepatutnya tidak dihalang untuk bertanding jika mereka memenuhi syarat dan mendapat sokongan.

Namun katanya, calon-calon perlu mengenal pasti keupayaan dan kemampuan masing-masing untuk memimpin selain sumbangan yang mampu diberi dan bukan semata-mata bertanding atas alasan mahu menyuburkan demokrasi dalam parti atau meningkatkan penyertaan.

Namun katanya, beliau menghormati keputusan mana-mana pihak untuk bertanding kerana perkara itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti dan tidak ada keistimewaan bagi sesiapa pun yang mahu mengekalkan jawatan.

Mengenai cadangan Pemuda UMNO Johor itu, katanya, beliau percaya mereka menyuarakan pendirian tersebut kerana mahu melihat UMNO kembali kukuh dan diyakini orang Melayu serta rakyat secara keseluruhannya dan tidak mempunyai niat lain. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment