My Add

Sunday 21 July 2013

Rundingan damai dipersetujui

 
AMMAN, SABTU, 20 Julai, 2013: Palestin dan Israel bersetuju untuk mengadakan rundingan damai secara terus pada minggu depan di Washington, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry (gambar) lewat semalam, kurang 24 jam selepas pemimpin Palestin dilapor menolak pelan damai dikemukakan AS.

Pada sidang akhbar yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia di Amman, Jordan, Kerry berkata, pegawai Palestin dan Israel bersetuju menyambung semula rundingan yang terhenti sejak lebih dua tahun lalu.

"Mewakili Presiden Barack Obama, saya gembira untuk mengumumkan kami telah mencapai persetujuan bagi menyambung semula rundingan langsung antara kedua-dua pihak terbabit," katanya.

Menurut Kerry, ketua perunding Palestin, Saeb Erakat dan Menteri Kehakiman Israel, Tzipi Livni akan berunding di Washington pada minggu depan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran tentang rangka kerja rundingan tersebut dan mahu perbincangan dirahsiakan bagi menjayakan proses berkenaan.

Kerry dalam pada itu turut memuji Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana membuat pilihan yang tepat untuk kembali ke meja rundingan.

Pengumuman terbabit dibuat empat hari selepas Kerry mengadakan lawatan ke rantau berkenaan dan mengadakan pertemuan dengan Abbas serta beberapa pemimpin Palestin dan Arab bagi mencari jalan supaya rundingan yang tertangguh itu dihidupkan semula.

Dalam perkembangan sama, kerajaan Hamas yang mentadbir Genting Gaza menolak rundingan damai Palestin-Israel yang diusahakan AS.

Seorang jurucakap Hamas berkata, pergerakan tersebut menolak usaha Kerry menyambung semula rundingan Palestin dan rejim Zionis.

Katanya, Hamas menganggap tindakan Pihak Berkuasa Palestin bersetuju berbincang dengan Israel sebagai tindakan yang bertentangan dengan persetujuan kebangsaan.

"Presiden Mahmoud Abbas yang mentadbir kerajaan Palestin di Tebing Barat tidak mempunyai hak untuk mewakili rakyat negara ini bagi mengadakan rundingan dengan rejim Zionis," tegasnya. - DPA/AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment