My Add

Monday 8 July 2013

SAM1M sokong lupus bayaran muka beli rumah

KUANTAN, AHAD, 07 Julai, 2013: Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) menyokong cadangan supaya bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya golongan muda untuk memiliki sebuah rumah sendiri.

Ketua Penerangannya, Muhammad Faiz Hashim berkata, cadangan itu amat bermakna kepada golongan muda memandangkan harga rumah kini semakin mahal.

Katanya, selain harga rumah yang semakin mahal, bayaran deposit yang terlalu tinggi juga merupakan faktor penghalang anak muda memiliki rumah.

"Pihak bank juga disyorkan agar melonggarkan sedikit prosedur kelulusan pinjaman bagi anak muda yang pertama kali membeli rumah," ujarnya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mengemukakan cadangan tersebut ekoran kebimbangan mengenai nasib generasi muda termasuk golongan berijazah untuk memiliki sebuah rumah sendiri.

Irmohizam yang mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Khamis lalu berkata, berdasarkan harga rumah yang ditawarkan, golongan muda sukar untuk membeli sebuah rumah memandangkan gaji bulanan mereka tidak mencukupi.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kajian terhadap 10 orang pekerja berijazah yang berkhidmat selama lima hingga lapan tahun dan memperoleh pendapatan RM3,350 hingga RM5,000 mendapati golongan seperti ini juga masih sukar memiliki rumah.

Muhammad Faiz berkata, pihak kerajaan juga digesa mewujudkan suatu akta atau undang-undang bagi melarang pihak yang membeli rumah menjual rumah mereka dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

"Golongan yang membeli rumah dan kemudian menjual dalam tempoh singkat untuk meraih keuntungan berganda adalah merupakan antara faktor utama dan punca harga rumah melambung begitu tinggi ketika ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment