My Add

Friday 5 July 2013

Sasar FDI Korea Selatan naik

SEOUL, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Malaysia mahu melihat peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dari Korea Selatan dalam beberapa tahun akan datang sebagai usaha mengukuhkan hubungan dagangan antara kedua negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, buat masa ini, Korea Selatan merupakan negara kelima terbesar membawa pelaburan asing ke negara ini dengan jumlah AS$500 juta (RM1.55 bilion).

‘‘Oleh itu saya berharap, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kedudukan FDI dari Korea Selatan akan melonjak ke tangga ketiga atau keempat bagi menunjukkan hubungan dagangan antara kedua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Peluang Perniagaan Korea Selatan di Malaysia di sini yang dihadiri kira-kira 400 peserta, hari ini.

Mustapa berada di Seoul bagi mengetuai misi dagangan Malaysia ke Korea Selatan yang berakhir hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, Malaysia menyasarkan untuk membawa masuk FDI berjumlah AS$10 bilion (RM31 bilion) pada tahun ini, sedikit rendah berbanding tahun lalu iaitu AS$12 bilion (RM37.2 bilion) berikutan keadaan ekonomi global yang perlahan.

Katanya, dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan tahun lalu meningkat kepada RM49.9 bilion berbanding RM49.5 bilion pada 2011.

Korea Selatan merupakan negara perdagangan ke-8 terbesar dengan Malaysia dan destinasi eksport ke-10 Malaysia tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment