My Add

Friday 19 July 2013

Segera usir Joseph Marino - Desak NGO Islam

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

 * IBRAHIM Ali dan Hassan Ali (terlindung) menampal memo bantahan di hadapan pondok pengawal selepas gagal bertemu Biskop Joseph Marino ketika mengetuai beberapa NGO Islam menghantar memo bantahan di Kedutaan Vatican City di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa kerajaan menyarankan kepada Vatican City agar dutanya ke Malaysia, Biskop Joseph Marino digantikan secepat mungkin kerana menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai duta.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang merupakan jurucakap bagi gabungan NGO Islam itu berkata, tindakan ini perlu kerana duta yang baharu dilantik itu cuba campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia dengan menyatakan sokongan secara terbuka isu gereja Katholik mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Malah Ibrahim menegaskan, sepatutnya Marino patut tahu kedudukan beliau sebagai duta adalah memupuk keharmonian antara kedua-dua negara dan bukan memecah-belahkannya dengan mencampuri isu dalaman Malaysia.

"Saya dengan ini mengisytiharkan Joseph (Marino) sebagai duta persona non-grata kepada Malaysia. Dia tidak diingini dan mesti meninggalkan negara ini.

"Dia sepatutnya tahu dengan lebih baik isu kalimah Allah telah dieksploitasi oleh pihak pembangkang negara ini sebagai faedah politik mereka semata-mata yang turut meningkatkan sentimen dalam kalangan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara," dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hassan Ali; Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam), U. Thamotharan dan beberapa NGO Islam lain menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Vatican City di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama Hassan dan Zulkifli terpaksa menampal memorandum bantahan tersebut di tembok pagar Kedutaan Vatican City di di sini berikutan tiada wakil dari kedutaan Vatican City keluar berjumpa dengan mereka.

Sementara itu, Hassan menegaskan antara kandungan memorandum bantahan itu ialah mereka mahukan Vatican City mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Marino tempoh hari.

"Tak perlulah mereka nak sibuk dengan hal ehwal kita di Malaysia, adalah lebih baik mereka memfokuskan untuk menyelesaikan salah laku seksual dalam kalangan pegawai agama mereka sendiri berbanding menyibuk dengan hal ehwal dalaman negara asing," tegasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment