My Add

Wednesday 10 July 2013

Sempadan Kelantan-Thailand diperketat ekoran peningkatan kes jenay

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkat penguatkuasaan kawalan keluar masuk di sempadan Kelantan-Thailand berikutan peningkatan kes jenayah berat termasuk bunuh dengan senjata api di negeri itu akhir-akhir ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk penglibatan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) bertujuan mengawal kegiatan penyeludupan senjata api dari negara jiran.

"Kita akui ada kelonggaran dalam kawalan keluar masuk (di sempadan) Thailand dan Kelantan dalam kalangan penduduk kerana mereka mempunyai pertalian darah dan sebagainya.

"Namun dengan peningkatan mendadak kes di Kelantan, maka kita akan melakukan tindakan drastik termasuk menambah aset-aset pencegahan di kawasan sempadan," katanya menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Annuar ingin tahu tindakan kerajaan berhubung apa yang dilihat sebagai peningkatan jenayah berat di Kelantan termasuk kes bunuh menggunakan senjata api dengan merujuk kepada kes Hashim Mat Zin, 43, guru Sekolah Kebangsaan Beris Panchor di Bachok yang ditembak mati sebaik keluar dari sekolahnya pada Isnin.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta kerajaan negeri Kelantan bekerjasama dengan KDN dalam membanteras jenayah di negeri itu.

Menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai tindakan serta perancangan polis untuk mencegah jenayah, menteri itu menarik perhatian tentang penubuhan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah baru-baru ini.

Beliau berkata, pelbagai operasi khas turut dilakukan untuk menangani jenayah jalanan seperti kes ragut dan samun jalanan serta curi kenderaan.

"Polis Diraja Malaysia juga telah mewujudkan Unit Risikan Bersepadu sebagai pusat pengumpulan dan risikan jenayah," katanya sambil menjelaskan ia bertujuan mengesan dan menangkap penjenayah selain merancang tindakan pencegahan lebih efektif. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment