My Add

Thursday 4 July 2013

Siaran langsung RTM pengiraan undi di Kuala Besut

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan RTM memberi liputan terbaik pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya bulan lalu.

Beliau berkata, ia termasuk membenarkan kamera RTM diletakkan di dalam bilik pengiraan undi.

"Terlebih dulu saya akan bincang dengan bahagian teknikal untuk melihat keupayaan yang ada. Orang tahu mula kira undi pada jam 5 petang. Kalau ada 'blackout' pun orang boleh tonton secara live (langsung)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pertemuan beliau dengan SPR itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Kerusi Parlimen Kuala Besut, Terengganu kosong selepas penyandangnya. Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu.

Tarikh pengundian dijangka diumum esok selepas SPR mengadakan mesyuarat khas berhubung perkara itu di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Ditanya sama ada media lain juga akan dibenar berbuat demikian, Ahmad Shabery berkata ia mungkin tidak praktikal dan akan menganggu pihak SPR menjalankan tugas.

Sementara itu, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata beliau yakin Barisan Nasional mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Besut.

"Difahamkan, jentera pilihan raya pun sudah bersedia dan mood rakyat berada dalam keadaan yang baik. Jadi, kita rasa tiada sebab untuk rakyat tidak bersama dengan kerajaan pada hari ini," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment