My Add

Tuesday 9 July 2013

Suami isteri ditahan cuba seludup 26 tenggiling

BUKIT KAYU HITAM, ISNIN, 08 Julai, 2013: Pasukan Gerakan Am (PGA) Kedah menahan sepasang suami isteri yang cuba menyeludup 26 ekor tenggiling bernilai RM60,000 ke Thailand di Kompleks Kastam dan Imigresen di sini hari ini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Deputi Supritendan S. Sivanganam berkata, pasangan itu ditahan selepas PGA menemui haiwan eksotik itu dalam kereta Proton Satria yang dinaiki mereka pada 10.30 pagi.

Katanya, semua tenggiling itu diletakkan dalam guni di bahagian tempat duduk belakang kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun manakala isterinya warga Thailand berumur 31 tahun.

"Mereka cuba mengabui mata pihak berkuasa dengan meletakkan peti pembesar suara untuk menutup guni mengandungi haiwan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, pasangan itu memperoleh haiwan berkenaan daripada pembekal di Changlun untuk dihantar ke restoran makanan eksotik di negara jiran yang mendapat permintaan tinggi dengan harganya mencecah RM350 sekilogram.

Sivanganam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment