My Add

Sunday 7 July 2013

Tempoh maksimum pinjaman tak jejas ekonomi

IPOH, AHAD, 07 Julai, 2013: Pertumbuhan ekonomi domestik tidak akan terjejas walau pun Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi dan pembiayaan pembelian hartanah kediaman kerana pertumbuhan dalam negara mempunyai asas utama yang disokong oleh pelbagai sektor.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi negara turut bergantung kepada perbelanjaan dan pelaburan swasta di samping perbelanjaan kerajaan.

"Asas utama pertumbuhan dalam negara sudah ada. Kita mahu sektor perbankan yang berkualiti tinggi, yang bermakna kecairan sektor perbankan tidak akan terjejas."

"Pelabur, sektor korporat dan usahawan akan lebih mudah mendapat pinjaman. Apabila kita tingkatkan kualiti perbelanjaan rakyat dan sektor perbankan, ia juga menyumbang kepada pembangunan negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan program Mengimarahkan Perpustakaan di Perpustakaan 1Malaysia, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini.

Katanya, dengan langkah baharu BNM itu, pengeluaran pinjaman dijangka berkurangan, namun ia tidak akan menjejaskan keseluruhan perbelanjaan dan pelaburan swasta serta belanjawan kerajaan yang mempunyai asas kepada keseluruhannya.

"Dalam sektor perbankan, dasar pinjaman pada masa sekarang tinggi. Kita lihat dalam konteks pembayaran, Sistem Bayaran Minimum (MPS) begitu rendah serta mahu menuju ke arah penggunaan isu rumah yang mesti ada daya mampu yang tinggi," katanya.

Jika mempunyai daya mampu yang rendah, Ahmad Husni berkata, ada yang akan meminjam dari institusi yang berada di luar kewangan formal dan ia bukan satu amalan yang baik di samping berdepan kesukaran kerana kerajaan mahu mengukuhkan sistem ekonomi formal pada masa kini.

Katanya, langkah BNM yang berkuat kuasa serta merta itu juga mampu mengubah budaya berbelanja yang lebih positif.

Adalah menjadi kebimbangan apabila kajian BNM mendapati rakyat Malaysia yang meminjam akhir membawa pulang gaji bersih yang sedikit akibat begitu mudah mendapat pinjaman peribadi dan tempoh pembayaran yang begitu panjang, katanya.

"BNM berharap bahawa pinjaman peribadi itu mestilah ke arah yang produktif kerana terdapat ramai individu yang meminjam untuk perkara yang tidak penting. Jadi perbelanjaan luar kawalan itu yang kita mahu elakkan," katanya.

Selain kualiti pinjaman yang tinggi, langkah BNM itu juga dapat mewujudkan rakyat berpendapatan pendapatan tinggi untuk kehidupan mereka, katanya.

"Bagi jangka panjang, kita melihat aspek tahap gaji rakyat dan di sinilah pentingnya kita pastikan pertumbuhan ekonomi yang disasarkan dapat dicapai."

"Ini bermakna apabila pertumbuhan yang disasarkan menuju kepada negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (GNI) tinggi, ini akan membolehkan agihan pendapatan kepada pekerja sektor swasta dan awam untuk meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.

Ahmad Husni berkata, dasar mengenai perkara itu telah ada melalui program Transformasi Ekonomi dan ia sedang menuju kepada prestasi yang boleh dicapai oleh negara walau pun mulai tahun ini hingga 2020 adalah satu keadaan yang begitu mencabar kerana pertumbuhan ekonomi dunia mencatatkan penurunan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan mempunyai sebarang cadangan baharu yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2014 ekoran langkah yang diumumkan oleh BNM itu, beliau berkata, apa yang BNM lakukan telah memadai namun ada beberapa aku janji yang perlu kerajaan laksanakan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kita tidak nampak sebarang masalah untuk meningkatkan kadar BR1M. Ia menjadi asas untuk kerajaan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi kerana subsidi kerajaan sangat besar dan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira peringkat jumlah pendapatan."

"Kita sedang meneliti bagaimana mahu merasionalisasikan subsidi dan bagaimana untuk memindahkan rasionalisasi itu kepada kumpulan sasaran melalui BR1M ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment