My Add

Tuesday 9 July 2013

TPM pengerusikan mesyuarat Naib Canselor IPTA

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat bersama semua naib canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bangunan Parlimen.

Mesyuarat dua jam itu antara lain membincangkan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini serta peranan IPTA dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.

Pengerusi Majlis Naib Canselor, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika ditemui pemberita berkata, banyak perkara berkaitan pendidikan dapat dimanfaatkan melalui penggabungan kedua-dua kementerian itu.

Menurutnya, banyak sinergi yang boleh dipertingkatkan antara universiti dan sekolah di negara ini dan pihaknya sedang memperhalusi perkara berkenaan.

"Kita rasa Pelan Pembangunan Pendidikan (Nasional) (2013-2025) yang telah digubal boleh disejajarkan dengan baik melalui penggabungan ini, dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara," katanya.

"Kita harap bukan saja struktur dan tadbir urus yang kita lihat tapi juga pengisian dalam sistem pendidikan," kata Sharifah Hapsah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha II kementerian, Datuk Dr Zaini Ujang.

Pada pembentukan kabinet baharu Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang dikenali sebagai Kementerian Pelajaran dengan pelantikan seorang menteri kedua.

Muhyiddin kemudian mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, selepas mendapati penggunaan istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment