My Add

Sunday, 27 October 2013

Jadikan rakyat lebih sihat - Pakar kesihatan

KUALA LUMPUR,, SABTU, 26 Oktober, 2013: Pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen dilihat satu usaha bijak kerajaan dalam mengubah tabiat masyarakat terhadap keperluannya dalam pemakanan seharian.

Rata-rata pakar kesihatan menyokong penuh langkah kerajaan itu yang dianggap satu usaha menjadikan rakyat negara ini lebih sihat.

Bagaimanapun Pakar Kesihatan Pekerjaan Hospital Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, usaha itu tidak akan terlaksana sekiranya masyarakat tidak ingin berubah daripada tabiat lama mereka.

Menurutnya, rakyat perlu menyokong hasrat kerajaan itu demi kelangsungan dan kesejahteraan kesihatan masing-masing.

"Usaha kerajaan itu satu langkah bijak ekoran jumlah penghidap diabetes negara yang mencecah 2.6 juta pesakit. Ini satu angka yang berbahaya.

"Jika pengguna masih menikmati serta sanggup membayar makanan dan minuman yang sedap dengan tahap gula yang tinggi, perkara itu akan menjadi satu usaha yang sia-sia," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas isu yang sama, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datuk Dr. Raymond Azmin Ali berkata, pemansuhan subsidi gula itu merupakan satu langkah kesedaran diambil kerajaan dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia yang lebih sihat.

Beliau berkata, pemansuhan subsidi itu bakal memberi kesan kepada kenaikan harga gula yang sedikit-sebanyak akan mengurangkan penggunaan bahan asas tersebut dalam pemakanan harian.

Katanya, pengambilan makanan segera (fast food) mengandungi kadar gula dan garam yang tinggi antara faktor penyumbang penyakit diabetes serta darah tinggi di negara ini.

"Saya sangat menyokong usaha kerajaan ini dalam memastikan rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan sihat.

"Bagaimanapun, kerajaan juga perlu melihat kesihatan bukan hanya disebabkan pengambilan gula yang berlebihan tetapi penggunaan garam dalam pemakanan turut diambil kira," katanya.

Sementara itu, Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Hospital Columbia Asia Puchong, Dr. S. Silvam menyokong hasrat kerajaan dalam mengubah tabiat pemakanan tidak sihat rakyat Malaysia.

Katanya, usaha itu satu langkah yang tepat walaupun pengguna merasa sedikit terbeban tetapi langkah itu bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

"Namun, itu semua bergantung kepada pengguna sendiri. Kalau mereka tidak mempunyai kesedaran, usaha ini tidak akan membuahkan hasil," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment