Tiada alasan kukuh naik harga makanan, minuman
JERAI, SABTU, 26 Oktober, 2013: Para peniaga tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga barangan berasaskan gula sesuka hati berikutan pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen yang berkuatkuasa tengah malam tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, gula masih merupakan barangan kawalan di samping pemansuhan subsidi itu tidak memberi kesan begitu ketara.
"Sebab itu tiada sebab bagi peniaga hendak menaikkan harga sesuka hati. Dalam konteks ini mereka juga mesti bersama dengan hasrat kerajaan untuk membantu mengurangkan barangan gula ini di pasaran dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada program 'Jom Check Motor' di Taman Mahsuri, Sungai Limau, di sini hari ini.
Menurut Hasan, rakyat perlu melihat pemasuhan harga gula tersebut dari sudut positif antaranya bagi mengurangkan jumlah pesakit diabetis di negara ini yang dilihat membimbangkan.
Selain itu, katanya, langkah pemansuhan berkenaan membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM64.02 juta bagi tahun ini dan RM551.25 juta pada 2014.
Beliau berkata, penjimatan berkenaan dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur di bandar dan luar bandar di samping meningkatkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Kerajaan membuat keputusan kurang popular tetapi memberikan keuntungan kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, para peniaga tidak boleh menaikkan harga gula sesuka hati melepasi RM2.84 sekilogram yang ditetapkan meskipun berlaku pemansuhan subsidi kerana ia masih dikategorikan sebagai barangan kawalan.
Katanya, jika terdapat premis perniagaan berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pecatutan 2011.
Menurut beliau, selepas pengumuman pemansuhan harag gula malam tadi, anggota penguatkuasa kementeriannya telah mengambil tindakan ke atas dua peniaga yang didapati menorok barangan itu dengan niat mahu menjualnya pada harga lebih tinggi.
Dalam pada itu, mengenai program 'Jom Check Motor' itu, Hasan berkata ia merupakan serampang dua mata bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai kebaikan menjana ekonomi menerusi koperasi dan menjadikan aktiviti kesukarelawan sebagai budaya hidup. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment