Kementerian Pengangkutan tambah baik kemudahan tiga sektor
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Oktober, 2013: Kementerian Pengangkutan akan menambah baik kemudahan sektor maritim, udara dan darat melalui peruntukan RM5.2 bilion dalam Bajet 2014 untuk kementerian itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Pemangku Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.311 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, sementara RM3.9 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Beliau berkata, melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM3.38 bilion diperuntukkan untuk projek-projek infrastruktur kereta api, RM359.8 juta (menambah baik lapangan terbang) dan RM16 juta (pelabuhan dan perkhidmatan laut).
"Bagi sektor maritim, usaha akan dilakukan bagi meningkatkan kapasiti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
"Untuk sektor darat pula, penekanan akan diberi kepada usaha-usaha memperbaiki, menaik taraf dan meningkatkan keupayaan infrastruktur kereta api elektrik Lembah Klang dengan peruntukan sebanyak RM850 juta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, untuk sektor udara, kerajaan bersetuju untuk membangunkan KL Air Traffic Center (KL ATCC) bagi menggantikan pusat sedia ada di Subang dan dijangka menelan kos RM700 juta, selain mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.
Menurut beliau, bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pengangkutan awam bandar, sebanyak RM192.5 juta telah diperuntukkan bagi memperkasa program yang melibatkan RM167.8 juta belanja pembangunan dan RM24.7 juta (belanja mengurus).
Katanya, antara projek yang akan dilaksana di bawah program itu termasuklah meningkatkan kemudahan jalan raya, program hentian bas, mewujudkan pusat bagi sistem perkhidmatan teksi, memperkasa sistem perhubungan bagi pejalan kaki serta meningkatkan kapasiti tempat letak kereta di stesen-stesen pengangkutan awam.
"Di samping itu, kementerian akan meneruskan inisiatif mendidik masyarakat khususnya pelajar sekolah tentang kepentingan keselamatan jalan raya.
"Sebanyak RM9.75 juta diperuntukkan bagi membekal dan mencetak modul keselamatan jalan raya untuk pelajar tingkatan satu hingga tiga dan RM8.139 juta lagi untuk melatih guru-guru berhubung keselamatan jalan raya," katanya.
Hishammuddin berkata, bagi Kementerian Pertahanan pula, sebanyak RM13.5 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM2.6 bilion (belanja pembangunan) melalui Bajet 2014.
Katanya, sebahagian besar daripada bajet untuk kementerian tersebut adalah bagi memantapkan keupayaan aset-aset sedia ada.
Menurut beliau, antara perkara baharu yang telah diperuntukkan di bawah belanja mengurus adalah penyelarasan gaji baharu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sewaan prasarana baharu untuk tujuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sewaan rumah keluarga ATM.
"Antara projek di bawah belanja pembangunan yang akan diteruskan bagi 2014 pula adalah perolehan kenderaan berperisai, perolehan 'Littoral Combat Ship' (LCS), perolehan empat pesawat kargo dengan meliputi peruntukan sebanyak RM2.4 bilion," katanya.
Sementara itu, jelas berkata, sebanyak RM12.7 juta diperuntukkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
iaitu RM4 juta untuk program pemulihan komuniti, RM2.1 juta (program Remaja Berwawasan), RM1.7 juta (Ops Wawasan) dan RM1.5 juta (Program Khidmat Komuniti Briged Sukarelawan Khidmat Negara). - UTUSAN
No comments:
Post a Comment