Lebih ramai berpeluang miliki rumah
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Oktober, 2013: Kerajaan yakin lebih ramai rakyat akan berpeluang memiliki rumah terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan langkah yang diambil dalam Bajet 2014 yang dibentangkan semalam.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, insentif dan langkah tersebut dibuat bagi memastikan tiada rakyat yang tertinggal untuk memiliki keperluan asas iaitu rumah.
"Pemaju bertanggungjawab diharap dapat membantu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan pertengahan.
"Kita mengalu-alukan perundingan dengan sektor swasta terutamanya Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dalam mencari penyelesaian komprehensif bagi pelbagai isu yang belum selesai dan cabaran dihadapi industri," katanya.
Teks ucapan Abdul Rahman dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Yong Bun Fou sebelum merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) di Pusat Pameran Mid Valley, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa langkah bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil, sekali gus mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan.
Dimaklumkan bahawa kerajaan dan sektor swasta akan membina sebanyak 223,000 unit rumah dengan harga berpatutan sebagai usaha meningkatkan akses pemilikan rumah oleh rakyat.
Selain itu, kerajaan juga akan memperkenal Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome yang menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada setiap pemaju bagi menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisme harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.
Tambah Abdul Rahman, kementeriannya juga mengalu-alukan cadangan-cadangan bagi pembaharuan yang membantu industri supaya rakyat negara mampu memiliki persekitaran hidup yang lebih baik. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment