My Add

Sunday, 27 October 2013

Pemansuhan subsidi gula bakal ubah cara pemakanan

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Oktober, 2013: Pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen dilihat sebagai langkah yang boleh mengubah persepsi serta tabiat masyarakat terhadap keperluannya dalam pemakanan seharian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini berikutan amalan pengambilan gula didominasi oleh gaya hidup serta budaya rakyat Malaysia yang menganggapnya sebagai bahan penting dalam makanan dan minuman.

"Masyarakat perlu memahami asas nutrisi pemakanan yang diperlukan ialah karbohidrat dan bukannya gula. Bahan itu bukan sahaja meningkatkan paras gula pesakit diabetes, malah memburukkan lagi kesihatan.

"Oleh itu, saya percaya kini merupakan masa terbaik untuk rakyat mengurangkan pengambilan gula serta memperbetul cara pemikiran dalam pengambilan bahan ini supaya kesihatan lebih terjamin," katanya

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 semalam untuk memansuhkan subsidi gula yang bermula hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Simposium Imunologi Klinikal Kebangsaan kali ke-6, Persidangan Kekurangan Daya Tahan Utama (Primary Immunodefeciencies) Antarabangsa, di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr. Amir Hamzah Abdul Latiff.

Simposium yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan MSAI bagi mengesan kaedah serta rawatan yang bersesuaian dengan penghidap kurang daya tahan utama (PID) supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Dianggarkan sebanyak 4,000 pesakit PID dalam negara ini, namun masih ramai yang belum dikenal pasti secara lebih menyeluruh memandangkan majoriti tidak menyedari perihal masalah kesihatan terbabit.

Dalam pada itu, Subramaniam menambah, kementerian juga akan menggunakan peruntukan Bajet 2014 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada orang awam dengan lebih komprehensif.

Malah jelas beliau, kementerian turut membuka peluang lebih luas kepada para pegawai perubatan untuk menjalani latihan kepakaran dalam bidang yang diberi keutamaan bagi menghasilkan lebih ramai doktor pakar.

"Selain itu, bajet yang diperuntukkan bukan hanya untuk kos perubatan dan pengurusan, malah sebahagiannya akan digunakan untuk pembinaan hospital, klinik serta alatan perubatan baharu.

"Ini bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan dapat diperbaiki serta memenuhi keperluan dari semasa ke semasa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment