Pas minta isytihar 4 Nov. cuti umum
JERAI, SABTU, 26 Oktober, 2013: Pas yang khuatir kehilangan undi kerana tarikh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau jatuh hari bekerja meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 4 November sebagai cuti umum.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya ingin memohon Najib agar menjadikan tarikh tersebut sebagai cuti umum secara berterusan selepas Deepavali dan Awal Muharam.
"Oleh kerana 2 November adalah hari Deepavali manakala 5 November, Awal Muharam, maka wajarlah kerajaan mengisytiharkan cuti umum pada 4 November. Kalau boleh cuti ini harus berterusan supaya tidak menimbulkan masalah kepada pengundi khususnya pengundi luar," kata dalam sidang akhbar di Markas Induk Pas, Batu 14, Padang Lumat, di sini hari ini.
Sementara itu, Pas meneruskan sikap pembangkang yang melihat apa sahaja tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak betul.
Ia terbukti apabila Mahfuz berkata, Pas tidak bersetuju dengan alasan mengurangkan penyakit diabetes yang diberikan Najib berhubung langkah pemansuhan subsidi gula dalam pembentangan Bajet 2014 semalam.
''Kerajaan memberikan alasan untuk kurangkan penyakit kencing manis, namun, saya tidak nampak pula statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan berhubung mereka yang mengalami kencing manis berkurangan apabila harga gula dinaikkan. Jadi alasan ini tak masuk akal," jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment