PCA beri lebih 'tenaga' kepada polis
PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 Oktobe, 2013: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Permerluasan) 2013 yang baru diluluskan akan memberi lebih 'tenaga' kepada polis dalam menangani jenayah khususnya jenayah terancang.
Sambil merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan, beliau sekali lagi menegaskan bahawa undang-undang baharu itu hanya melibatkan tindakan terhadap penjenayah, tidak sekali-kali disasar kepada ahli politik.
Beliau berkata, ia juga langsung tidak melibatkan kuasa eksekutif kerana daripada proses awal tangkapan sehingga rayuan, semuanya berkisar kepada proses kehakiman.
"Ada banyak tahap check and balance dalam rang undang-undang ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan satu persidangan industri yang diadakan sempena Pameran Polis Umum ke-3 dan Pameran dan Persidangan Kelengkapan Khas Asia 2013 (GPEC Asia 2013) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, yang masuk hari kedua hari ini.
Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan undang-undang itu, polis kini mula membincangkan langkah-langkah untuk mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) serta penambahbaikan kepada Hukuman Tetap Ketua Polis Negara (IGPSO).
Khalid berkata, ia perlu dibuat serta-merta kerana pihaknya perlu bergerak selari dengan kerajaan yang mengambil tindakan segera dalam meluluskan undang-undang itu.
"Semua persiapan sedang diatur, bila rang undang-undang ini diwartakan nanti, saya percaya kami boleh terus melaksanakannya, SOP dah ada, cuma kami kena kemas kini mengikut apa jua peruntukan yang diluluskan dalam udang-undang baharu itu," katanya.
Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi untuk bacaan kali pertama Rabu lepas itu, diluluskan Dewan Rakyat pada pukul 12.50 awal pagi ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis akan menggunakan proses undang-undang untuk membolehkan majikan suspek utama kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, diekstradisi ke negara ini jika lelaki yang kini dipercayai berada di Australia itu gagal tampil menyerah diri minggu ini.
"Kami masih beri dia masa untuk pulang menyerah diri," katanya sambil menegaskan bahawa polis Malaysia mempunyai hubungan yang amat baik dengan polis Australia.
Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki tempatan yang juga ahli perniagaan berusia 53 tahun itu dipercayai meninggalkan negara tiga hari selepas kejadian pembunuhan itu.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lalu, dan polis menahan suspek utama kes itu di Taiping, Perak bersama-sama dua rakannya pada 22 September lalu.
Merujuk kepada tiga penjenayah yang ditembak mati di Gerik awal pagi semalam pula, Khalid berkata, ketiga-tiga mereka adalah samseng tempatan dan bukannya anggota kumpulan kongsi gelap.
Katanya, polis sedang mengumpul bukti menerusi pengambilan cap jari untuk melihat sekiranya ketiga-tiga penjenayah itu terlibat dengan banyak lagi kes-kes jenayah. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment