My Add

Friday, 4 October 2013

Pembukaan tingkat bawah jambatan tawaf ditangguh

* PEMBINAAN jambatan bagi memudahkan jemaah melakukan tawaf di sekitar Kaabah masih belum selesai dan hanya tingkat atas jambatan beroperasi untuk musim haji kali ini. - AGENSI
MEKAH, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Pihak berkuasa Mekah semalam mengumumkan penangguhan pembukaan tingkat pertama jambatan di kawasan tawaf sehingga selepas musim haji.

Penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan di bahagian pintu kecemasan jambatan tersebut diselesaikan.

Pengarah Pertahanan Awam Mekah, Mejar Jeneral Jameel Arbaeen berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas dicadangkan oleh lima anggota jawatan kuasa saintifik di bawah Institut Penjagaan Dua Masjid Suci bagi Penyelidikan Haji.

"Penangguhan itu bukan sahaja bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan, tetapi juga untuk memastikan keselamatan jemaah yang berada di sekitar Kaabah.

"Memandangkan musim haji semakin hampir, kerja-kerja pembinaan itu tidak sempat diselesaikan," katanya.

Bahagian atas jambatan itu yang bersambung dengan tingkat pertama Masjidilharam, dibuka pada 25 Julai lalu semasa bulan Ramadan dan kini digunakan oleh golongan warga emas dan orang kurang upaya.

Jambatan setinggi 13 meter dan seluas 12 meter itu boleh memuatkan kira-kira 1,700 jemaah yang menggunakan kerusi roda dalam satu-satu masa. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment