My Add

Saturday, 26 October 2013

Pelatih wanita dinobat kadet inspektor terbaik

 *INTAN Maslindah Abdul Azias menerima trofi daripada Mohd. Bakri Zinin selepas dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan pada upacara perbarisan tamat latihan Kursus Asas Kadet Inspektor, di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Oktober, 2013: Buat julung kalinya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menobatkan wanita sebagai pelatih terbaik keseluruhan sempena upacara tamat latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2013 yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak hari ini.

Pada majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin. itu, pelatih wanita terbabit, Intan Maslindah Abdul Azias, 34, dipilih sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan daripada 594 peserta.

Turut menerima pengiktirafan ialah Judip Barandy, 30, sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan Mohd. Isa Mahat, 41, sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.

Majlis tamat latihan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah, Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Mortadza Nazarene dan Komandan Pulapol Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed.

Intan Maslindah ketika ditemui berkata, pemilihan ini membuktikan PDRM sentiasa memberi peluang kepada anggota pasukannya untuk bersaing secara sihat tanpa mengira jantina.

"Apa yang paling penting adalah saya menjalani latihan dengan ikhlas, InsyaAllah kita akan berjaya," katanya selepas selesai upacara tersebut.

Intan Maslindah yang sudah berkahwin dan berasal dari Jasin, Melaka kini bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Johor. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment