My Add

Saturday, 26 October 2013

PRK Sungai Limau: Hijrah sokong BN bukan satu dosa

JERAI, SABTU, 26 Oktober, 2013: Penduduk Sungai Limau tidak perlu berasa terikat atau berdosa untuk berhijrah kepada kehidupan lebih baik dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan itu, 4 November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 'penghijrahan' itu menuntut keberanian pengundi dengan melihat sokongan mereka terhadap BN sebagai usaha untuk membawa perubahan positif yang lebih besar di DUN tersebut.

Beliau turut mengingatkan penduduk Sungai Limau yang majoritinya umat Islam berhubung firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11 yang menegaskan, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.

''Sungai Limau tidak akan banyak berubah jika saudara-saudari tidak membuat perubahan dari warna hijau ke warna biru.Berhijrah dari Pas kepada UMNO tidak salah. Tiada hukuman kata ini satu dosa besar,'' katanya pada majlis perjumpaan bersama waris murid dan warga pendidikan Daerah Kuala Muda/ Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf 12 bangunan sekolah di dalam DUN Sungai Limau.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, para pengundi tidak perlu mempercayai jika ada pihak-pihak tertentu mengatakan kononnya mereka akan berdosa jika menyokong UMNO.

Tegas beliau, UMNO yang menunjangi kerajaan BN mempertahankan akidah, memperjuangkan Islam termasuk dengan membangunkan pelbagai institusi dan enakmen agama Islam.

Berikutan itu kata Timbalan Perdana Menteri, tidak salah apabila beliau hendak merayu penduduk Sungai Limau memberi satu peluang dan ruang kepada BN kerana ia bukan satu perkara tidak baik.

"Kalau di peringkat negara dan negeri ditadbir oleh BN, mengapa tidak di peringkat DUN Sungai Limau wakil rakyat yang dipilih ialah calon BN.

"Lebih mudah buat kerja, lebih banyak pembangunan dapat kita lakukan dan bantuan-bantuan yang dapat kita turunkan untuk memperbaiki kehidupan kita di Sungai Limau," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment