Pengawal tak berkualiti di sekolah
MELAKA, KHAMIS, 03 Oktober, 2013: Kementerian Pendidikan akan menyenarai hitam beberapa syarikat kawalan keselamatan daripada ditawarkan kontrak baharu selepas gagal mematuhi garis panduan ditetapkan dalam membekalkan pengawal keselamatan berkualiti di sekolah-sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarikat-syarikat yang telah disenarai hitam itu akan dikeluarkan daripada senarai ditawarkan kontrak baharu bagi tahun ini dan tahun depan manakala yang layak pula perlu memenuhi beberapa syarat-syarat baharu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah, tindakan tegas itu diambil kerana kementerian memandang serius Laporan Ketua Audit Negara 2012 berhubung beberapa syarikat keselamatan yang membekalkan pengawal keselamatan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.
"Saya rasa agak terkilan apabila hal-hal seperti ini berlaku. Kita tidak ada masa untuk melihat hal sebegini berlaku kerana terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
"Namun, kita telah kenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diatasi bagi menangani apa yang telah dilaporkan Ketua Audit Negara antaranya memberi kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah untuk memantau projek-projek yang ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Melaka di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai semakan di sebanyak 35 buah sekolah terpilih yang mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan sekolah mempunyai rekod jenayah.
Selain itu, laporan tersebut turut menyebut sebanyak 76 pengawal keselamatan gagal mengemukakan tapisan keselamatan dari balai polis berhampiran atau Kementerian Dalam Negeri bagi membuktikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.
Selain itu, terdapat pengawal yang melebihi had umur dan gagal mengemukakan kepada pihak audit laporan kesihatan daripada hospital kerajaan bagi membuktikan mereka masih sihat dan dapat menjalankan tugas sebagai pengawal.
Menurut Muhyiddin, pemantauan seluruh projek yang ditawarkan di bawah kementerian akan melibatkan ramai pegawai di peringkat negeri dan daerah tidak seperti sebelum ini yang mana semua projek dipantau daripada ibu pejabat.
Tambahnya, ketika ini terdapat sebanyak 364 buah syarikat melibatkan 760 kontrak di semua sekolah seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kabinet telah mengarahkan setiap kementerian mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang menjadi punca berlakunya pembaziran.
Menurutnya, tindakan itu termasuk membuat laporan kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan lain berhubung pendedahan laporan audit tersebut.
Katanya, Kabinet memandang serius laporan berkenaan memandangkan ada kementerian atau pentadbiran kerajaan negeri yang tidak membuat sebarang perubahan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment