Sultan minta UMK bantu bangunkan Kelantan
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU, SABTU, 26 Oktober, 2013: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diminta berperanan mengekang dan menghapuskan kemiskinan di negeri Kelantan melalui usaha berterusan memartabatkan pendidikan yang menjangkaui semua latar belakang.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri dan Pusat digesa memberi sokongan penuh kepada UMK supaya dapat membangunkan negeri ini dan rakyatnya ke arah kehidupan yang lebih baik.
Titah baginda, antara usaha yang boleh dilakukan UMK adalah menawarkan kursus jangka pendek dan kursus luaran dalam bidang pendidikan keusahawanan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri ini terutama golongan kurang berkemampuan.
"Sebagai sebuah insitusi pengajian tinggi awam yang berada di negeri Kelantan, UMK seharusnya unggul dalam menerajui pembangunan modal insan berteraskan pendidikan yang mantap, UMK juga harus memainkan peranan dinamik untuk membantu mengekang dan menghapuskan kemiskinan di negeri ini.
"Beta menyeru agar kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat memberikan sokongan sepenuhnya kepada UMK dengan tujuan untuk membantu mempertingkatkan Kelantan umumnya dan masyarakat khasnya ke arah kehidupan yang lebih baik meliputi aspek sosio-budaya dan sosio-ekonomi.
"Beta yakin, UMK mampu meneraju serta mendukung usaha yang mapan untuk memperkasakan penyelidikan seterusnya meningkatan kemampuan daya saing untuk menyebarluaskan ilmu berimpak tinggi bagi membantu negeri dan negara amnya, lebih maju dan terkehadapan dalam pelbagai aspek terutama bagi mengatasi jurang kemiskinan ekonomi dan pendidikan.
"Para graduan UMK juga harus mendokong usaha ini dengan menjadi insan cemerlang bukan sahaja dari segi teori tetapi juga sahsiah diri serta terus memberi sokongan dan bantuan kepada universiti walaupun selepas tamat pengajian," titah baginda.
Sultan Muhammad yang juga Canselor UMK bertitah demikian pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Ketiga UMK di sebuah hotel di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment