My Add

Saturday, 26 October 2013

90 peratus Ketua Puteri negeri muka baharu - Mas Ermieyati

MELAKA, SABTU, 26 Oktober, 2013: Pergerakan Puteri UMNO dijangka menampilkan ramai muka baharu memegang jawatan Ketua Puteri negeri yang akan dilantik di seluruh negara selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, 4 November ini.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, perubahan besar itu perlu dilakukan memandangkan hampir 90 peratus muka baharu dipilih memegang jawatan Ketua Puteri di peringkat bahagian pada pemilihan parti baru-baru ini.

Bagaimanapun menurutnya, hanya dua muka lama yang mengekalkan jawatan tersebut ialah Ketua Puteri Kelantan, Nor Wahidah Patuan dan Ketua Puteri Kedah, Norashimah Mat Nawi.

"Saya masih mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di setiap negeri bagi mengenal pasti siapa yang layak untuk dilantik sebagai Ketua Puteri negeri yang baharu.

"Mengenai kedudukan dua penyandang yang mengekalkan jawatan masing-masing juga akan turut dipertimbangkan sama untuk mengekalkan mereka atau memilih muka baharu.

"Saya akan membuat pertimbangan wajar dengan mendapat maklum balas daripada semua pihak terutama mendapat nasihat daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum saya umumkan senarai Ketua Puteri negeri yang akan dilantik nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Kokurikulum 2013, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (Mozac) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment