My Add

Friday 31 May 2013

Kuala Lumpur meningkat dalam kedudukan Indeks Bandar Raya Global MasterCard

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kuala Lumpur meningkat dua anak tangga ke tempat kelapan tahun ini dalam Indeks Bandar Raya Destinasi Global MasterCard, berdasarkan ketibaan pelawat antarabangsa pada 2013.

MasterCard dalam satu kenyataan hari ini berkata, ibu negara Malaysia yang sebelum ini berada pada kedudukan ke-10 mengetepikan bandar raya terkemuka seperti Barcelona, Shanghai, Tokyo dan Los Angeles.

"Pada tahun akan datang, Kuala Lumpur menganggarkan kadar pertumbuhan akan meningkat 3.9 peratus dari segi ketibaan pelawat antarabangsa dan 17.9 peratus peningkatan dalam jumlah perbelanjaan pelancong,” katanya.

Antara negara di Asia, Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga, mengatasi bandar raya maju seperti Hong Kong, Seoul, Tokyo, Taipei, Beijing dan Guangzhou.

"Kuala Lumpur dijangka menerima 9.2 juta pelawat antarabangsa yang menginap tahun ini, peningkatan kira-kira 12 peratus berbanding 8.1 juta pelawat tahun lepas,” katanya.

Ia berkata, lima bandar raya penghantar paling penting kepada Kuala Lumpur ialah Singapura, Jakarta, Bangkok, Melbourne dan Manila. - BERNAMA
Dadah: Warga Maghribi ke tali gantung, dua warga Jerman bebas

SHAH ALAM, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap seorang jurujual kereta warga Maghribi dan membebaskan dua warga Jerman atas tuduhan mengedar dadah jenis methampetamine seberat 6.6kg, tahun lepas.

Warga Maghribi itu, Mohammed Seddiki, 27, dituduh bersama dua warga Jerman, Najim Sayed, 27, dan Yossuf Ezam, 26, melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.45 pagi, 1 Jan 2012.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.

Dadah itu ditemui dalam beg pakaian Mohammed.

Kedua-dua warga Jerman itu dilepas dan dibebaskan setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah. - BERNAMA
UMNO muncul parti tunggal terkuat pada PRU-13: Najib
*NAJIB Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: UMNO merupakan parti terkuat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana berjaya berjaya menambah sebanyak 88 kerusi berbanding cuma 79 pada PRU-12.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO merupakan parti tunggal berjaya menyamai jumlah kerusi yang diperolehi tiga parti pembangkang.

"Undi UMNO turut meningkat sebanyak 30 peratus dan kita juga berjaya merampas kembali Perak dan Kedah," kata ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Najib yang juga merupakan Presiden UMNO menjelaskan, parti itu akan terus berjuang untuk rakyat dan berusaha mengukuhkan kedudukan pada pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, beliau turut menerima cadangan daripada Jawatan Kuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan kaji semula pentadbiran di ibu pejabat UMNO dan wujudkan bidang pengkhususan seperti penyelidikan, latihan, media sosial dan penerangan," ujar beliau.

Tambahnya, pentadbiran akan disusun semula sesuai dengan tenaga profesional dan kakitangan sepenuh masa supaya dapat memberi tumpuan untuk menyampaikan mesej dan arahan yang lebih berkesan. - KOSMO!
 UMNO wujudkan makmal khusus kaji BN parti tunggal: Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: UMNO akan mewujudkan makmal khusus untuk memperinci cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata parti juga perlu mengadakan tinjauan pendapat daripada anggotanya sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan itu.

Sebarang perubahan, katanya, perlu berdasarkan penerimaan anggota UMNO sendiri.

"Kita faham Umno ini parti yang dekat di hati ahli...jadi sebarang perubahan perlu diperhalusi dengan mendalam supaya nanti tidak timbul isu ketidakterimaan terhadap parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Ini merupakan mesyuarat pertama MT UMNO selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.

Sementara itu, Najib turut memaklumkan Lembaga Disiplin UMNO menerima 99 aduan mensabotaj parti sepanjang PRU13.

Keputusan kes itu akan ditentukan Lembaga Disiplin, katanya.

Seramai 192 anggota UMNO yang bertanding secara bebas dan menyertai pembangkang pada PRU13 dipecat berdasarkan keputusan dasar parti.

Tindakan itu selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO yang menyatakan mana-mana anggota yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keanggotaannya selama-lamanya.

Antara yang dipecat ialah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohd Shariff Omar (bertanding calon Bebas di Parlimen Tasek Galugor dan Dun Sungai Dua) dan Ketua Pemuda Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Dalam pada itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan memfailkan lebih 50 petisyen mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 di Mahkamah Tinggi di negeri yang terbabit, tidak lama lagi.

Katanya peguam Umno sedang meneliti perkara itu termasuk keputusan di 37 kawasan di mana pencalonan pembangkang diragui kerana dipercayai tidak mengikut peraturan pilihan raya. - BERNAMA
DAP diarah serah dokumen, bukti

 Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: DAP telah menerima surat arahan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) supaya menyerahkan dokumen dan bukti bagi membantu siasatan berkenaan kegagalan memberi notis kehadiran kepada anggota parti itu yang layak untuk hadir pada Kongres Kebangsaan Parti, 15 Dis lepas.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya diberi tempoh sehingga 6 Jun ini untuk membalas surat itu dan mereka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Beliau berkata dalam surat itu RoS hanya meminta DAP menyertakan bukti penghantaran notis kepada empat cawangan tertentu sahaja iaitu cawangan Taman Sri Sungai Pelek, Selangor; Taman Nesa Skudai, Johor; Desa Dahlia dan Ladang Paroi di Seremban.

"Kami telah mengesan bahawa empat anggota daripada empat cawangan itu pernah menghadiri kongres dengan menandatangani senarai kehadiran dan telah mengundi semasa pemilihan parti, seorang lagi telah mengisytiharkan dirinya keluar parti pada 16 Ogos tahun lepas iaitu bekas ketua cawangan Sungai Pelek Tan Tuan Tat," katanya.

Loke yakin kelima-lima mereka dari empat cawangan itu telah membuat aduan kepada RoS berhubung dengan kegagalan penerimaan notis itu.

"Bagaimanapun, kami akan menyerahkan empat lagi anggota yang belum keluar parti kepada pihak jawatankuasa disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini, Loke menafikan kenyataan RoS semalam yang menyatakan DAP gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada Kongres Kebangsaan Parti, 15 Dis lepas.

Ketua Pengarah RoS Datuk Abdul Rahman Othman dalam kenyataannya berkata keputusan siasatan kegagalan penerimaan notis itu diperoleh selepas menerima aduan daripada anggota DAP yang tidak menerima notis itu serta dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan di kongres itu.

Loke berkata pihaknya mempunyai bukti bahawa mereka pernah menghantar notis dan dokumen lengkap melalui pos kepada kesemua anggotanya yang layak 10 minggu sebelum berlangsungnya kongres itu.

Katanya mengikut senarai, terdapat 2,576 anggota yang layak untuk hadir dan mengundi pada pemilihan parti itu dan daripada jumlah itu, seramai 1,843 atau 71.5 peratus anggota telah hadir manakala 733 anggota tidak hadir.

Keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh anggotanya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada hari itu. - BERNAMA
KJ pertikai FAM beri hak tuan rumah kepada Pahang

 Khairy Jamaluddin
 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertikaikan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi hak tuan rumah kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) bagi perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ini kerana, katanya persatuan itu telah gagal menjamin keselamatan pada perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Selasa lepas.

"Kutipan hasil yang patut diberikan kepada Pahang sebagai tuan rumah tak boleh lebih daripada kapasiti Stadium Darul Makmur iaitu 10,000 sedangkan kapasiti di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah lebih besar iaitu 80,000.

"Pahang tidak layak mendapat hasil kutipan jualan tiket lebih dari 10,000 kerana mereka telah dikenakan tindakan denda tapi FAM bagi keuntungan lebih kepada PBNP. Ini tidak masuk akal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi bersama Timbalannya, Datuk M.Saravanan ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini.

Khairy juga menyifatkan sebagai tindakan kurang tegas FAM terhadap PBNP ekoran kekecohan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa lalu, menyebabkan perlawanan terpaksa ditunda dan diadakan di gelanggang berkecuali.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendenda PBNP sebanyak RM100,000 manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM20,000 ekoran kekecohan itu.

"Kita tidak tahu kenapa terlalu ramai penonton boleh berada di stadium sedangkan tiket perlu dijual mengikut kapasiti stadium," katanya.

Menurutnya insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan FAM perlu segera menyiasat dan mencari jawapan kerana ianya telah mencemarkan nama baik bola sepak negara.

"Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan amat kecewa dengan PBNP kerana mereka gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai tuan rumah," katanya.

Khairy turut meminta agar FAM bertindak menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap pesuruhjaya perlawanan kerana gagal menyelaraskan semua aspek perlawanan termasuk soal keselamatan dan tiket. - BERNAMA
Atlet tempuhi 4 kejohanan besar sebelum Olimpik Rio 2016

 KUALA LUMPUR, 31 Mei, 2013: EMPAT temasya sukan penting yang dijadual berlangsung mulai Disember ini hingga 2015 menjadi medan persiapan atlet negara sebelum menghadapi cabaran Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Kejohanan berkenaan ialah Sukan SEA di Myanmar pada Disember, Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dan Sukan SEA 2015 di Singapura.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini, Khairy berkata kesemua temasya sukan itu dilihat amat penting dalam memastikan impian negara untuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama menjadi kenyataan.

"Kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun MSN akan memastikan semua atlet mendapat bantuan sewajarnya dalam melakukan persiapan ke arah membawa pulang pingat emas pertama negara di Rio de Janeiro, Brazil nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata KBS tidak lama lagi dijangka menyiapkan Pelan Strategik Lapan Tahun MSN yang menjadi rangka tindakan program pembangunan jangka panjang buat atlet negara.

Antara perkara baru yang terkandung dalam pelan itu ialah program pembangunan jurulatih mahir yang akan diusahakan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan MSN.

"Kita ingin menyediakan lebih ramai jurulatih yang berkemampuan untuk terus membimbing atlet sehingga ke peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik," jelas Khairy.

Beliau berkata tumpuan juga akan diberi kepada program pencarian bakat baru (TID) yang akan diperluaskan bagi memastikan lebih ramai bakat baru mampu dicungkil selepas ini.

"Sebelum ini, atlet dipilih menerusi persatuan sukan yang mereka wakili atau daripada Sukan Malaysia (Sukma), namun ia masih belum mencukupi kerana masih ramai mereka berbakat di luar sana," kata menteri itu.

"Selepas membuat keputusan bagi melantik Pesuruhjaya Sukan yang baharu tidak lama lagi...saya akan mengadakan pertemuan dengan semua persatuan sukan termasuk persatuan sukan bermasalah," tambah Khairy. - BERNAMA
Nurul Izzah selar dihalang masuk Sabah

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI 

 
Nurul Izzah Anwar
 PETALING JAYA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menyelar tindakan pihak berkuasa menghalangnya dari masuk ke Sabah semalam.

Tegasnya, sebagai rakyat Malaysia beliau mempunyai hak untuk memasuki negeri itu kerana ianya termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

"Hak saya selaku warganegara Malaysia termaktub di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63:67. Hak untuk masuk ke negeri Malaysia Timur bagi menjalankan hak-hak politik.

"Seksyen 66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak ke atasnya," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut beliau,semalam, beliau telah ditahan dan kad pengenalannya telah diambil di pintu masuk imigresen bagi menghalangnya daripada memasuki negeri Sabah.

Tambah beliau lagi, lawatannya ke Sabah bertujuan untuk menghadiri program anjuran PKR Sabah di samping menyambut pesta Kaamatan bersama penduduk tempatan.

Dalam masa yang sama, dakwanya lagi, beliau turut dimaklumkan bahawa alasan yang diberikan atas penahanan beliau adalah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah.

"Saya juga difahamkan ada nama-nama lain, termasuk aktivis tempatan beserta ahli politik Pakatan Rakyat (PR) yang lain juga akan dinafikan kemasukan ke dalam negeri Sabah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah," dakwanya lagi.

Baginya, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik.

"Malah permohonan saya untuk mendapatkan senarai nama mereka yang terlarang ditolak atas sebab-sebab kerahsiaan. "Tiada alasan lain diberikan dalam tangkapan dan penafian saya masuk ke Sabah.

"Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut," katanya lagi.

Tegasnya lagi, isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

Sehubungan itu, katanya, PKR akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini. - Sinar Harian
Keganasan: Mahkamah Rayuan keluar waran tangkap terhadap suri rumah

PUTRAJAYA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang suri rumah yang pernah didakwa bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, setelah wanita itu gagal hadir ke mahkamah.

Tiga anggota panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu terhadap Halimah Hussein setelah pihak pendakwaan memaklumkan Halimah gagal dikesan.

Halimah sepatutnya hadir dalam prosiding rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya bersama Yazid dan rakan mereka, Muhammad Hilmi Hasim dalam kes menggalakkan keganasan.

Hakim Abu Samah, Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memerintahkan sedemikian mengikut Seksyen 56(A) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Berdasarkan akta itu, jika rayuan dikemukakan berhubung sesuatu pembebasan, Mahkamah Rayuan boleh mengeluarkan waran mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa di hadapannya dan boleh menahannya di penjara sementara menunggu keputusan rayuan itu atau membenarkannya dijamin.

Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk mendengar rayuan itu. - BERNAMA
Setiap rakyat tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan: Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan setiap rakyat tidak kira bangsa mahupun kepercayaan agama tidak akan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.

Najib berkata, beliau bertekad menjadi perdana menteri yang mewakili setiap rakyat tidak kira warna kulit, kepercayaan agama mahupun fahaman politik.

"Untuk itu, saya akan pastikan kemajuan yang bakal dibawa ke negara ini memberi manfaat kepada setiap rakyat," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai minggu ini.

Najib turut menggesa rakyat supaya terus mengekalkan semangat perpaduan kerana keamanan dan kedamaian merupakan teras kepada pembangunan negara.

"Saya sangat bersyukur kerana di negara ini, kita dapat meraikan pelbagai perayaan dalam suasana penuh harmoni meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan kepercayaan agama.

"Semangat perpaduan kaum di negara kita sangat dikagumi malah masyarakat antarabangsa juga kagum dengan semangat bersatu-padu antara kita," kata Najib.

Sambil mendoakan agar negara terus dilimpahi rezeki, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada mereka yang meraikannya. - BERNAMA
Anwar mungkir janji - Bekas menteri Indonesia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 2013: Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.

Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai".

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya. - BERNAMA
Anggota Rakan Cop, URB akan ditambah bantu tangani jenayah: Zahid Hamidi

KAJANG, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat menambah keanggotaan Rakan Cop dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menangani masalah jenayah dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu secara tidak langsung akan membantu mempercepatkan laporan mengenai sesuatu kejadian jenayah.

"Siasatan mengambil masa kerana ia antara lain, tertakluk kepada kerjasama orang ramai kerana polis perlukan maklumat tambahan bagi melakukan tangkapan... ia memerlukan tindakan cepat masyarakat.

"Oleh sebab itu, saya dan timbalan menteri berhasrat memperbesarkan lagi Rakan Cop, supaya mereka dapat membantu bagi maklumat segera," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Kompleks Penjara Kajang diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ahmad Zahid berkata, rondaan bersama, URB dan Angkatan Tentera Malaysia juga akan diadakan dengan lebih kerap berbanding secara berskala sekarang.

Selain itu, beliau berkata, lokasi kerap berlaku jenayah berulang juga akan dipantau dan dikaji secara terperinci dan akan dimasukkan ke senarai lokasi 'hotspot' sedia ada, sekiranya perlu. 

Latihan khas juga akan diberikan kepada badan-badan di bawah kementerian seperti Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia bagi memotivasi mereka membantu anggota polis mencegah jenayah. - BERNAMA
Kanak-kanak perempuan antara 40 ditahan Imigresen Melaka

MELAKA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Seorang kanak-kanak adalah antara 40 warga asing yang ditahan Imigresen Melaka dalam operasi di dua kawasan perumahan dan kedai makan di Melaka Tengah yang bermula petang semalam hingga awal hari ini.

Pengarah Imigresen Melaka, Kamaluddin Ismail, berkata kanak-kanak perempuan Myanmar itu ditahan bersama 18 lagi rakyat negara berkenaan termasuk seorang wanita, lapan lelaki dan tiga wanita Indonesia, enam lelaki dan dua wanita Kemboja serta dua lelaki India.

Mereka yang berusia antara empat dan 48 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di kedai makan di Dataran Pahlawan, Melaka Raya, Jalan Temenggung serta dua rumah di Cheng Setia dan di Paya Rumput antara 6 petang semalam sehingga 3 pagi tadi.

"Semasa serbuan di rumah teres dua tingkat di Cheng Setia, seramai lima lelaki dan seorang perempuan warga Kemboja didapati bersembunyi di siling rumah.

"Seorang daripada mereka cedera di tangan akibat jatuh daripada siling ketika serbuan dijalankan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan didapati tinggal lebih masa di negara ini.

"Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun bekerja sebagai tukang jahit baju dan seorang pegawai kita juga cedera di tangan apabila terkena siling yang jatuh," katanya. 

Kamalluddin berkata, 52 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan mereka yang ditahan melakukan kesalahan tinggal lebih masa, menyalah guna pas serta masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit atau pas sah selain menggunakan pasport individu lain. - BERNAMA
Pemilihan jawatan tertinggi UMNO dilakukan beberapa jam serentak di 191 bahagian

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Pemilihan jawatan tertinggi parti UMNO dari Presiden hingga Majlis Tertinggi (MT) akan dilakukan dalam tempoh beberapa jam secara serentak di 191 bahagian sekuruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri NJib Razak berkata, kaedah pemilihan akan ditentukan sama ada menggunakan kaedah angkat tangan, kertas undi, dakwat kekal dan seunpamanya akan ditentukan kemudian.

Untuk tujuan itu, satu pasukan diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali akan turun ke setiap negeri bagi menjelaskan kaedah pemilihan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO sebentar tadi. - BH
Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran

DUNGUN, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah separuh kekal dua tingkat di Kampung Che Lijah di sini, hangus dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian yang berlaku jam 10.15 pagi itu memusnahkan rumah Ahmad Adam, 55; Rashid Ibrahim, 44; Jamil Abdullah, 53; Mohd Yusof, 52; dan Amin Kasim, 49.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Zulkhairul Mohd Razilah, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.20 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Paka digegaskan ke tempat kejadian dan operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan bomba sukarela Ketengah Jaya, Jabatan Pertahanan Awam selain anggota kawasan Rukun Tetangga,” katanya kepada BERNAMA, di sini.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca dari rumah milik Ahmad sebelum merebak ke rumah berdekatan.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau sedang menonton televisyen bersama dua cucunya Haris Iskandar Zuklfifli, 11, dan Mohd Al Basir Zulkifli, 5, sebelum mendapati api muncul dari siling rumah.

Beliau kemudian mengarahkan dua cucunya itu keluar menyelamatkan diri.

"Saya lihat api membakar atap dan merebak ke dinding dan saya mengambil penyapu memadam api terbabit namun tidak berjaya dan tidak menyangka api sudah marak membakar ruang dapur dan telah merebak membakar rumah jiran bersebelahan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau kemudian bergegas keluar dari rumah itu apabila mendapati api semakin marak namun naik semula ke rumah bagi mengambil dokumen penting sehingga menyebabkan beliau terkena api dan mengalami lecur pada bahu.

Sementara itu, jirannya Jamil Abdullah, 53, berkata ketika kejadian beliau terhidu bau hangit lantas keluar dari rumah dan mendapati rumah jirannya terbakar.

Beliau bersama isteri dan tiga anak mereka kemudian lari menyelamatkan diri apabila mendapati api itu merebak membakar dinding rumahnya.

"Saya hanya sempat mengambil beberapa dokumen penting serta gagal menyelamatkan harga benda memandangkan api begitu marak membakar disusuli angin yang amat kuat," katanya yang menganggar kerugian hampir RM30,000,” katanya. - BERNAMA
UMNO akan wujud makmal khusus perincil cadangan BN jadi parti tunggal: Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: UMNO akan mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal, kata Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebentar tadi. - BH
Bot karam: Operasi mengapungkan bangkai bot ditangguhkan

BELAGA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kegagalan mengapungkan bangkai bot ekspres yang karam di Giam Bungan, di sini, pada hari keempat menyebabkan operasi itu ditangguhkan hingga tarikh yang belum ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Bakar Sebau, ketika mengumumkan operasi dihentikan pada jam 4 petang hari ini berkata, operasi akan disambung semula selepas pihaknya mendapat bantuan kren.

Bagaimanapun, bantuan itu hanya akan diperoleh dalam masa dua hari berikutan ramai operator cuti perayaan Gawai Dayak esok dan lusa. - BH
Bot karam:Muhyiddin ucap takziah

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang, Sarawak, Selasa lalu.

"Bersama kita doakan keselamatan mangsa yang masih hilang," katanya di laman Facebook beliau.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.

Bot ekspres sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai itu karam di Giam Bungan, Sungai Rajang dekat Belaga.

Lebih 190 penumpang dilaporkan selamat dalam kejadian itu, seorang mati dan empat masih hilang. - BERNAMA
Polis Pahang lancar `Ops Tutup' kesan tahanan lari

KUANTAN, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis Pahang melancarkan 'Ops Tutup' bagi mengesan tahanan yang lolos dalam kejadian di pekarangan mahkamah di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata operasi itu dilancar dengan kerjasama polis Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Saya sudah memanggil mereka (anggota polis pengiring) yang terlibat dalam kejadian ini dan saya dapati kes ini memerlukan siasatan rapi selepas mendengar keterangan daripada mereka," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota polis yang terlibat dalam kejadian semalam itu sudah diberikan tugasan lain dan tindakan susulan akan diambil jika siasatan mendapati berlaku kepincangan dalam prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Dalam kejadian 1.30 petang semalam, seorang daripada 11 tahanan yang digari secara berantai dalam dua kumpulan, meloloskan diri ketika kenderaan Black Maria yang membawa mereka tiba di pekarangan bangunan mahkamah di Indera Mahkota di sini.

Muhammad Juli Hadi, 24, dari kampung Jaya Baru, Bukit Bading, Terengganu itu melarikan diri dengan terjun daripada kenderaan berkenaan sebelum memanjat keluar pagar bangunan mahkamah. - BERNAMA
Polis Melaka teliti rekod kesihatan remaja perempuan ditemui mati

MELAKA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis akan meneliti rekod kesihatan remaja perempuan yang mayatnya ditemui di tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Melaka Superintendan P. R. Gunarajan berkata, ini kerana siasatan awal mendapati mangsa mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

"Soal siasat ke atas suspek lelaki berusia 17 tahun yang ditahan susulan penemuan mayat mangsa, mendapati mereka ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal kira-kira 9 malam sebelum mangsa mengalami sesak nafas.

"Suspek cuba melakukan bantuan pernafasan namun gagal, dan dia yang panik dengan keadaan itu bertindak meninggalkan mangsa di situ," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya hasil bedah siasat ke atas mayat remaja itu juga gagal mengenal pasti punca kematian kerana keadaan mayat yang mula mereput.

Dalam kejadian 7 malam kelmarin, mayat Aimi Hamizah Mohamad, 14, ditemui sekumpulan remaja kampung itu yang dalam perjalanan pulang selepas bermain bola sepak di padang berhampiran lokasi kejadian.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Ayer Molek itu dilapor hilang selepas gagal pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek, di sini Isnin lepas, setelah keluar untuk ke kelas mengaji al-Quran kira-kira jam 7.40 malam. 

Mayat anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terlentang di atas sekeping papan lapis di tapak pembuangan sampah tersebut, empat kilometer dari rumahnya.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang remaja lelaki di sebuah rumah di taman perumahan yang sama dengan mangsa.

Mengulas lanjut, Gunarajan berkata remaja lelaki itu yang belajar di sekolah yang sama dengan mangsa mengaku telah lama berkenalan dengan mangsa serta sering berbalas mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, soal siasat ke atas remaja itu turut mendapati suspek membawa lari beg mangsa yang mengandungi dua buah buku dan telefon bimbit, yang kemudian ditinggalkan di sebuah surau berhampiran lokasi mayat.

Remaja itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. - BERNAMA
Polis minta penyokong Pahang dan Johor DT ikut arahan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis meminta penyokong dan penonton yang ingin menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok supaya masuk ke stadium mengikut pintu yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata penyokong Pahang boleh memasuki stadium menerusi pintu berwarna merah, kuning dan hijau serta duduk di tempat duduk berhampiran.

"Mereka boleh meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bahagian kiri stadium iaitu tapak A dan B serta kawasan di sekitar Bukit Komanwel," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Bagi penyokong Johor dan penonton dari negeri lain, mereka boleh meletakkan kenderaan di tapak C, D dan E serta sekitar kawasan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Amar Singh berkata, pintu yang boleh digunakan oleh penyokong Johor DT ialah berwarna ungu dan biru iaitu sebelah kanan stadium.

"Dijangka 60,000 penyokong akan melalui pintu penyokong Pahang dan 20,000 akan memasuki pintu penyokong Johor DT," katanya.

Langkah itu, katanya, dibuat bertujuan mengurangkan kesesakan atau orang berjalan jauh sekali gus mengelakkan provokasi kepada penyokong kedua-dua pasukan. 

Selain itu, mereka juga dilarang membawa barangan seperti botol air mineral/berperisa, mercun/bunga api, topi keledar, laser, mancis/pemetik api, sebarang objek tajam (besi/kayu), senjata seperti parang dan lain-lain, minuman keras, payung, tongkat, vuvuzela dan suar api.

Beliau berkata, barangan itu akan dirampas sebelum penonton dibenarkan masuk ke stadium manakala mereka yang membawa objek tajam dan senjata pula akan ditahan.

"Kami akan menempatkan anggota polis dan Rela di setiap pintu masuk untuk membuat pemeriksaan ke atas setiap penyokong," katanya.

Bagi mengelakkan kesesakan, penyokong juga digalakkan datang awal dan pintu stadium akan dibuka pada 5.30 petang. - BERNAMA
Kanak-kanak hilang selepas bot karam di Batang Sadong

SIMUNJAN, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 6 bulan hilang selepas bot dinaiki bersama 14 yang kain karam di Batang Sadong, di sini, kira-kira jam 1.59 tengah hari tadi. - BH
Keputusan inkues William 20 Jun

 PETALING JAYA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 20 Jun untuk keputusan inkues bagi menyiasat punca kematian William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak berusia enam tahun yang mayatnya ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh pada 24 Januari lalu.

Koroner Mohd Hezri Shaharil menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar prosiding inkues berkenaan yang bermula pada 11 Mac lepas dengan memanggil 21 saksi.

Terdahulu, Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohamad Zainal Abdullah memberitahu mahkamah agak sukar untuk mengaitkan keluarga William terbabit dalam kejadian yang menyebabkan kematian kanak-kanak itu kerana tiada bukti kukuh.

Mohamad Zainal, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berkata hasil itu diperoleh berdasarkan siasatan yang dibuat terhadap anggota keluarga mangsa termasuk ibu Goh Ying Ying, 26, ayah Yau Kok Kang, 33, nenek Chee Chong Moi, 56, dan abang mangsa Eric Yau Zhen Ming, 7.

"Kita juga menggunakan khidmat pakar psikologi untuk melihat sejauh mana kebenaran percakapan saksi...memang agak susah untuk kita tuduh mereka kerana tiada bukti kukuh," kata saksi terakhir itu menjawab soalan Mohd Hezri.

Mayat William ditemui 24 Januari lalu di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Sementara itu mengenai panggilan telefon palsu yang diterima Goh, Mohamad Zainal berkata suspek telah didakwa dan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohamad Zainal berkata melalui pengalamannya selama 10 tahun menjadi pegawai polis, panggilan telefon itu dilakukan suspek hanya untuk mengambil kesempatan terhadap keluarga mangsa.

"Ini kerana berdasarkan laporan patologi, saya percaya mangsa sudah mati pada hari kejadian...mayat sudah reput, lebih dari tujuh hari. Kalau mangsa sudah mati, suspek tidak akan menelefon keluarga mangsa," katanya.

Prosiding inkues dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt dan peguam Goh Kim Lian. - BERNAMA
Elak perbezaan fahaman politik sebagai penyebab keretakan perpaduan

KUCHING, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Rakyat Sarawak diingatkan supaya terus menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dibuat mengikut lunas demokrasi berperlembagaan dan mengelak daripada menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penyebab keretakan perpaduan di negeri ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng turut berharap mereka tidak terbawa-bawa dengan unsur negatif yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian sedia ada.

"Dalam kita menyambut perayaan Gawai Dayak ini, adalah sangat penting bagi kita semua untuk meningkatkan kesyukuran dan menyuburkan lagi keharmonian serta perpaduan kaum yang telah lama terbina selama ini di Sarawak," katanya dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak, esok.

Rakyat, katanya, dapat menyaksikan dan belajar bagaimana keadaan huru-hara dan rusuhan yang melanda sesetengah negara akibat perbalahan agama dan politik, menghancurkan serta menghalang proses pembangunan dan aktiviti ekonomi negara terbabit.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan, yang dibentuk semula, dan di peringkat negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kerana memenangi PRU13 dengan cemerlang.

Abang Muhammad Salahuddin berkata, tahun ini juga sangat bermakna bagi rakyat Sarawak kerana menyambut perayaan 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia dengan pelbagai aktiviti anjuran kerajaan negeri sejak pelancaran sambutan pada Mac lalu.

Beliau berkata, sambutan perayaan berkenaan antara lain bertujuan mengingatkan rakyat supaya menginsafi peristiwa serta liku sejarah negeri Sarawak dari zaman penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan dan kemajuan yang bersama dikecapi pada hari ini. 

"Tanpa mengenali sejarah negeri sendiri, kita tidak akan tahu mengenai asal-usul kita dan apakah masalah yang nenek moyang dan para pemimpin terdahulu daripada kita hadapi sebelum ini," katanya.

Namun begitu, katanya, rakyat juga harus ingat bahawa sesebuah negara atau negeri yang maju adalah hasil daripada peranan dan sumbangan setiap kaum kerana tanpa perjuangan dan kerjasama sedemikian, tidak mungkin negeri ini boleh mencapai kemajuan seperti yang dinikmati pada masa kini.

Beliau yakin dengan adanya keharmonian yang telah lama tercipta, rakyat Sarawak akan terus hidup dengan aman dan makmur, bersesuaian dengan slogan sambutan 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia iaitu 'Sarawak harmoni, kemakmuran dinikmati'.

Sambil mengucapkan selamat Gawai Dayak kepada semua masyarakat Dayak, beliau meminta supaya mereka merancang perjalanan balik ke kampung dan rumah panjang bagi mengelak berlakunya kemalangan. - BERNAMA
Tiga lelaki ditahan disyaki anggota sindiket penipuan

SHAH ALAM, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Polis menahan tiga lelaki dipercayai suspek yang mempunyai kaitan dengan 58 kes penipuan membabitkan barangan bernilai lebih RM500,000 di Kuala Selangor dekat sini, Sitiawan dan Ipoh di Perak.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata kesemua lelaki yang berumur antara 32 dan 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Raub, Pahang pada 5.30 petang, Selasa lalu.

"Berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan bergiat aktif sejak 2010 dengan memperdayakan pelbagai syarikat pengeluar dan pembekal seperti barangan pembinaan, elektrik, alat tulis, elektronik dan serbuk kari," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan akan memesan barangan serta meminta tempoh kredit sehingga 90 hari dan sekiranya pembekal tidak bersetuju, suspek akan membeli barangan dalam kuantiti kecil secara tunai bagi meyakinkan mangsa.

“Selepas mendapat persetujuan daripada mangsa, suspek akan mengeluarkan cek tarikh ke hadapan untuk tempoh tiga bulan sebagai pembayaran dan akan menutup premis perniagaan serta akaun selepas tempoh berkenaan,” katanya.

Thaiveegan berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan nama syarikat Sri Alam Trading dan membuka sebuah premis perniagaan dengan pelbagai nama samaran seperti Tan Yew Hock, Eric Chen, Mandy Wong, Alan Cheng dan Mr Lee.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Thaiveegan berkata, polis sedang mencari seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket itu yang dikenali sebagai Ooi Guan Hock, 65, dari Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk menipu dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan Mohammad Adam di talian 03-55146659 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA
Kemuka butiran palsu: Empat pegawai YPM diperintah bela diri

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Empat pegawai Yayasan Pelajaran Mara (YPM) masing-masing diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang, tiga tahun lalu.

Hakim Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Noraidah Johar, 43; Muhammad Suhaimi Ismail, 44; Zolkefli Mohd Ali, 48; dan Nurmawati Redzwan, 46, di akhir kes pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan 3 Julai ini untuk kesemua tertuduh yang akan memberi keterangan secara bersumpah.

Pihak pembelaan yang diketuai peguam Azrul Z Stork akan mengemukakan tujuh saksi termasuk kesemua anak guamnya.

Noraidah adalah Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT), Muhammad Suhaimi adalah Penolong Pengurus Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III, dan Zolkefli adalah Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan, manakala Nurmawati pula Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik.

Kesemua tertuduh didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian Pendahuluan Lawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125.

Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun yang mana jumlah sebenar adalah RM3,500 iaitu kelas ekonomi. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan 

Tinggi, Yayasan Pelajaran Mara, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah mengemukakan 15 saksi. - BERNAMA
ERL lancar sistem tiket baru untuk KLIA ekspres

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Sistem tiket automatik baru untuk perkhidmatan KLIA Ekspres, yang dilancarkan oleh Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), tidak saja menawarkan kemudahan tambahan untuk pengguna, malah menjimatkan kertas dan kos penyelenggaraan mesin tiket.

Sistem baru ini dilaksanakan untuk perkhidmatan KLIA Transit pada 5 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor, berkata sistem baru itu akan membantu penumpang membeli tiket tanpa beratur di kaunter, selain melancarkan perjalanan penumpang terutama pada waktu puncak.

"Sistem ini akan membolehkan perakuan tiket yang lancar di pintu masuk tiket, dan membantu kami menjimatkan kos membeli kertas dan menyelenggara mesin mencetak tiket," katanya.

Menerusi sistem baru ini, pintu masuk tiket dipasang pengimbas atau sentuh dan tidak lagi perlu memasukkan tiket, khidmat layan diri seperti kiosk layan diri, portal dalam talian dan aplikasi mudah alih untuk menggantikan sistem tiket kertas jalur magnet sedia ada.

"Pelanggan boleh memilih untuk membeli tiket sama ada di kaunter atau di kiosk layan diri atau menggunakan kad Touch N Go serta kemudahan Kad Visa payWave di pintu masuk," katanya.

Noormah berkata, sistem baru itu bukan sahaja mesra alam malah penyelesaiannya menggunakan teknologi pengkomputeran awan. 

Beliau berkata, sistem keseluruhan telah dirombak termasuk operasi bahagian dalam.

Sistem baru itu juga menggalakkan pembelian tiket secara dalam talian, yang boleh diakses menerusi laman web www.KLIAekspres.com, atau aplikasi mudah alih KLIA.

Noormah berkata, pengguna Android boleh memuat turun aplikasi dari Google Play manakala pengguna iPhone boleh mendapatkannya dari App Store.

Beliau berkata, pembelian secara dalam talian dan di kiosk layan diri akan disediakan dengan tiket kod bar QR dan penumpang hanya perlu mengimbas kod bar apabila melalui pintu tiket.

Katanya, tambang semasa KLIA Ekspres dan KLIA Transit kekal tidak berubah. - BERNAMA
Tiga lelaki Indonesia maut dalam nahas berasingan di Pahang

KUANTAN, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Dua lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal yang mereka tunggangi merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan malam tadi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata nahas jam 9.30 malam di Kilometer 17 Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Temerloh itu meragut nyawa Yatno Widodo, 26, dan Alfin Ariyanto, 30.

Katanya, kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh terlanggar belakang lori berkenaan yang rosak kerana tayar pancit.

"Mereka yang cedera parah di kepala dan badan meninggal di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya seorang buruh binaan yang juga warga Indonesia maut selepas dilanggar sebuah jentolak yang sedang mengundur di kawasan tapak projek perumahan Pak Mahat, Jalan Kampung Soi di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa dikenali sebagai Aprison, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

"Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, pemandu jentolak berkenaan yang sedang meratakan tanah di kawasan tersebut sedang mengundurkan kenderaan itu tanpa menyedari mangsa di belakang," katanya.
- BERNAMA
Rakyat Sabah harus syukuri nikmat keamanan kekal bersatu-padu

PENAMPANG, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meminta seluruh rakyat mensyukuri nikmat kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang terpelihara untuk kekal bersatu-padu bagi memajukan negeri ini di semua peringkat.

Sehubungan itu, Musa berkata semua rakyat harus menginsafi nikmat itu yang bukan sesuatu yang wujud secara semula jadi, sebaliknya hasil usaha dan pengorbanan pemimpin, kerajaan dan seluruh lapisan rakyat sejak dahulu hingga kini.

"Secara tradisinya, sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Murut adalah untuk melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi dan memperingati pengorbanan Puteri Huminodun yang sanggup dijadikan korban bagi menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran serta memulihkan semula keadaan bumi pada ketika itu.

"Kedua-dua peristiwa ini memberikan pengajaran dan mesej penting kepada kita pada hari ini akan pentingnya untuk kita sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Tuhan kepada kita dan negeri Sabah pada keseluruhannya," katanya dalam teks ucapan pada majlis penutupan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan, dekat sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2013, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa memelihara dan mengukuhkan semangat perpaduan, muhibah dan persefahaman agar sentiasa teguh dan berakar umbi dalam masyarakat serta tidak mampu diganggu-gugat oleh anasir dan golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Persefahaman, penglibatan dan komitmen suku kaum dan etnik yang lain dalam menjayakan perayaan ini melalui persembahan-persembahan tarian kebudayaan dan pameran seperti pakaian, muzik, tarian dan makanan tradisi bukan sahaja mengeratkan lagi silaturahim bahkan membolehkan kita lebih memahami, mengenali dan menerima secara terbuka warisan dan khazanah yang harus kita pelihara bersama," katanya.

Justeru, Musa berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan akan terus dihayati sebagai pencetus inspirasi dan kekuatan kepada rakyat untuk bersatu padu dan mengukuhkan semangat perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat di Sabah.

Majlis penjutup Pesta Kaamatan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan upacara simbolik memalu gong sebanyak tujuh kali.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Kordinasi, Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan dari Sabah. - BERNAMA
Tiga tentera terbunuh dalam serangan gerila di Bogota

BOGOTA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Tiga anggota tentera terbunuh manakala dua yang lain cedera dalam serangan yang disyaki dilakukan Angkatan Tentera Revolusi Colombia (FARC), demikian menurut pihak berkuasa, hari ini.

Tentera Columbia berkata, serangan oleh kumpulan gerila dengan bom tangan itu berlaku di kawasan pedalaman di Puerto Concordia, Meta, di mana tentera kerajaan sedang menjalankan operasi pengawasan.

Anggota tentera yang maut dikenal pasti sebagai Harold Rairan, Walter Alirio Martinez dan Jeisson Andres Parra.

"Bahan letupan ditemui di kawasan operasi oleh ahli Brigade 22 unit tentera, yang berada di kawasan terbabit," demikian menurut laporan seorang anggota tentera.

Dua anggota tentera yang cedera dibawa ke pusat perubatan Villavicencio, di sini. - BERNAMA
Pesta Kaamatan disambut meriah

PENAMPANG, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai Padi, perayaan selama sebulan bagi menandakan berakhirnya musim menuai di Sabah, disambut penuh meriah hari ini dengan pelbagai etnik mempersembahkan kebudayaan masing-masing.

Lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri penutupan Pesta Kaamatan tahun ini di Pusat Kebudayaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), sejak dari awal pagi.

Majlis bermula dengan upacara simbolik menuai padi oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin diiringi Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Yang Dipertua Negeri kemudian mengisytiharkan perasmian penutupan Pesta Kaamatan sebelum memukul gong sebanyak tujuh kali bagi menandakan upacara rasmi penutup sambutan tahunan itu.

Juhar diiringi Pairin turut melawat gerai-gerai pameran dan rumah-rumah tradisional di luar perkarangan dewan itu.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Kordinasi, Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, menteri Kabinet negeri dan persekutuan dari Sabah.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan dan tarian utama daripada pelbagai suku kaum etnik di Sabah seperti Kadazandusun, Murut, Tatana dan Rungus selain persembahan kumpulan penari Sekolah Kebangsaan Kiawayan, Tambunan. 

Acara kemuncak pesta ialah Unduk Ngadau atau pertandingan Ratu Cantik yang disertai 40 peserta akhir dari seluruh negeri.

Isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni memahkotakan Unduk Ngadu, dan menandakan berakhirnya Pesta Kaamatan yang bertemakan 'Kekalkan Muhibah dan Persefahaman Melalui Kaamatan' bagi tahun ini. - BERNAMA
Taufan Barbara ragut 3 nyawa, 4 hilang di selatan Mexico
 *IMEJ saltelit oleh GOES East menunjukkan Taufan Barbara menghala persisiran pantai selatan Pasifik di Mexico, semalam. - Foto AFP
OAXACA (Mexico), JUMAAT, 31 Mei, 2013: Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban apabila Taufan Barbara mendarat di pantai Pasifik semalam, termasuk seorang peluncur warga Amerika Syarikat. 

Isnin lalu, seramai 12 nelayan dengan empat bot dilaporkan hilang apabila taufan melanda pesisir pantai selatan Mexico.

Bagaimanapun, lapan nelayan yang hilang kembali ke pantai semalam dengan menaniki dua bot selepas terselamat dari ribut dengan berteduh di pulau El Caballar, namun empat nelayan masih hilang, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri Oaxaca hari ini. - AFP/BH
Venezuela lancar pesawat dilengkapi kamera untuk bendung pengedaran dadah

CARACAS (Venezuela), JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kerajaan Venezuela melancarkan tiga pesawat pengawasan dilengkapi dengan kamera kecil sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membendung pengedaran dadah.

Presiden Nicolas Maduro berkata pesawat itu dibina dengan bantuan dari Iran dan akan digunakan untuk memantau sempadan Venezuela. Venezuela adalah hab utama pengedaran dadah.

Dalam ucapan di sebuah stesen televisyen tempatan hari ini, Maduro berkata pesawat juga akan digunakan untuk membantu memerangi jenayah, yang semakin meruncing di negara itu. - AP/BH 
Jangan terlibat tindakan cemar institusi raja berperlembagaan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Umat Islam diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebaliknya, umat Islam dan rakyat Malaysia perlu bersatu padu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan bagi mengekalkan suasana aman damai.

"Janganlah ada daripada kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain.

"Ingatlah bahawa musuh-musuh Islam senantiasa berusaha memecah-belahkan umat Islam, mereka sedar kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat khas di Masjid Negara hari ini bertajuk "Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Paksi Kekuatan Ummah" sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah esok. - BERNAMA
Akur perintah mahkamah, Zed Zaidi buat perjumpaan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013; Presiden Seniman, Zed Zaidi akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membenarkan perintah injunksi oleh lima penggiat seni bagi menghalang AGM Ke-15 persatuan itu diadakan esok di Finas.

Zed Zaidi ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya tidak akan melanggar perintah mahkamah, sebaliknya satu perjumpaan di antara beliau dengan para ahli Seniman akan diadakan esok.

"Saya tidak akan membuat AGM kerana adanya injunksi yang menghalang AGM diadakan, tetapi tidak salah jika saya mengadakan satu perjumpaan dengan ahli-ahli Seniman esok," katanya.

Beliau berkata, perjumpaan yang bakal diadakan itu akan menjelaskan banyak perkara kepada ahli Seniman yang pastinya mahukan penjelasan mengenai kemelut itu yang tiada penghujungnya. - UTUSAN
Pasukan keselamatan sentiasa pantau kawasan terlibat pencerobohan

PORT DICKSON, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Pasukan keselamatan sentiasa memantau kawasan persisir pantai timur Sabah yang terlibat dalam kejadian pencerobohan pengganas dari selatan Filipina Febuari lepas bagi memastikan ia bebas daripada sebarang ancaman.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan di kawasan itu.

"Pihak perisikan kita sentiasa memantau keseluruhan kawasan berkenaan dan pasukan keselamatan akan memaklumkan kepada penduduk setempat jika berlaku sebarang ancaman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa terdapat kumpulan pengganas Kiram akan memasuki Sabah melalui Sandakan dan beberapa kawasan lain bulan depan.

Zulkefli ditemui pada majlis penutup "Summer Camp 2 - Program Remaja Berwawasan Peringkat Nasional" di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. - BERNAMA
Jabatan Penjara sasar capai 100 peratus pemulihan ke atas banduan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan untuk mencapai 100 peratus tahap pemulihan ke atas banduan sekali gus mengelakkan banduan dikenakan hukuman berulang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, tahap pemulihan ke atas banduan adalah sekitar 94 peratus dan bagi tujuan tersebut, Jabatan Penjara akan menilai semula modul pemulihan sedia ada.

Selain itu, kata beliau, strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipertingkatkan lagi kerana kerjasama sebelum ini ternyata berkesan dalam membantu pemulihan ke atas banduan.

“Kita tidak mahu penjara hanya bertindak sebagai pelaksana hukuman tetapi aspek kemanusiaan dari segi pemulihan itu juga mesti diberi perhatian agar tidak berlaku jenayah berulang melibatkan banduan selepas habis tempoh hukuman.

“Hasrat kita, apabila banduan ini berada dalam masyarakat, mereka diterima oleh masyarakat dan tidak berasa kekok menjadi orang baru selepas keluar penjara," katanya selepas melawat Kompleks Penjara Kajang, di sini hari ini. - UTUSAN
Kementerian Kerja Raya usahakan pembiayaan bangunkan prasarana Sarawak

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kementerian Kerja Raya akan berusaha mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan pusat untuk membangunkan prasarana Sarawak terutamanya hubungan pengangkutan darat di kawasan muka bumi berbukit di Belaga dan Kapit.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata bajet itu, yang mungkin daripada Rancangan Malaysia ke-11, akan digunakan untuk menyambungkan bahagian ini kepada pusat utama seperti Bintulu dan mengurangkan kebergantungan masyarakat di sana terhadap pengangkutan air.

Fadillah berkata kos pembangunan jalan raya untuk bahagian ini akan mencecah sehingga RM300 juta atau lebih.

Pada masa ini, kedua-dua kawasan itu dihubungkan oleh jalan yang tidak disenggarakan dan digunakan oleh lori balak. - BERNAMA
Keganasan: Mahkamah Rayuan keluar waran tangkap terhadap suri rumah

PUTRAJAYA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang suri rumah yang pernah didakwa bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, setelah wanita itu gagal hadir ke mahkamah.

Tiga anggota panel hakim diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu terhadap Halimah Hussein setelah pihak pendakwaan memaklumkan Halimah gagal dikesan.

Halimah sepatutnya hadir dalam prosiding rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya bersama Yazid dan rakan mereka, Muhammad Hilmi Hasim dalam kes menggalakkan keganasan.

Hakim Abu Samah, Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memerintahkan sedemikian mengikut Seksyen 56(A) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Berdasarkan akta itu, jika rayuan dikemukakan berhubung sesuatu pembebasan, Mahkamah Rayuan boleh mengeluarkan waran mengarahkan supaya tertuduh ditangkap dan dibawa di hadapannya dan boleh menahannya di penjara sementara menunggu keputusan rayuan itu atau membenarkannya dijamin.

Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk mendengar rayuan itu. - BERNAMA
Perahu karam, kanak-kanak 3 tahun hilang

SAMARAHAN, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Seorang kanak-kanak hilang selepas perahu yang dinaiki bersama keluarganya karam pada pukul 2 petang ini di Tungkah di sini.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Supritendan Choo Yin Kok yang dihubungi berkata, usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak itu sedang dilakukan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung. - UTUSAN
Perintah injunksi halang AGM Seniman

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Lima penggiat seni hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi menghalang AGM Ke-15 Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang akan diadakan esok di Finas.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Rosilah Yop memutuskan demikian ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.

Lima penggiat seni terbabit ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S.Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) - UTUSAN
Seorang lagi disahkan selamat, empat masih hilang-polis

BELAGA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Seorang lagi penumpang yang disenaraikan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Rajang Selasa lepas, disahkan selamat.

Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Bakar Sebau yang mengesahkan perkara itu, berkata Ejang anak Nabau yang telah pulang ke rumah panjangnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kapit malam tadi.

Beliau berkata berikutan itu, hanya empat lagi penumpang bot ekspres itu yang masih disenaraikan hilang.

Mereka ialah Maurice anak Ajan, Simon anak Patrick, Roslin anak Jati dan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paulus, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat disambung semula pukul 7 pagi ini. - BERNAMA
Mahkamah tolak permohonan pelakon ketepikan writ saman bapa

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pelakon Wan Nor Azlin untuk mengenepikan writ saman difailkan oleh bapanya bagi mendapatkan perintah pengosongan sebuah rumah di Taman Sri Keramat yang merupakan harta sepancarian dengan arwah ibunya.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rosilah Yop di kamar beliau dengan kehadiran peguam Nur Aini Atiqah Abdul Aziz mewakili Wan Nur Azlin dan peguam Razilah Rashid bagi pihak bapanya, Wan Mohd. Husain.

Pada 5 Februari lalu, Wan Mohd. Husain telah memfailkan saman terhadap Wan Nor Azlin dengan mendakwa anaknya itu menghalangnya menjual hartanah dan enggan keluar daripada rumah tersebut.- UTUSAN
Pesawat terpaksa buat pendaratan cemas ekoran masalah penumpang

BEIJING, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Sebuah pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing terpaksa membuat pendaratan kecemasan ke Alaska ekoran seorang penumpang cuba menggantung diri di tandas pesawat tersebut semalam.

Syarikat Penerbangan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata, pesawat UA851 dari Chicago itu berlepas Rabu lalu terpaksa membuat pendaratan di Anchorage kerana `rawatan kecemasan’ selepas seorang penumpang terpaksa di tahan di hospital tempatan.

Sementara itu penumpang lain terpaksa bermalam di bandar raya itu ekoran kejadian tersebut. - AFP/UTUSAN
2 terkorban dalam Taufan Barbara

OAXACA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Taufan Barbara melanda perairan Pasifik selatan Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dengan jalan raya ditenggelami air dan beberapa batang pokok tumbang.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), taufan itu bagaimanapun kemudiannya bertukar menjadi ribut dengan kelajuan angin maksimum 96 kilometer sejam.

Barbara melanda negeri Chiapas iaitu sebuah wilayah pedalaman berhampiran negeri Oaxaca dengan beratus-ratus orang turut dipindahkan daripada kawasan terjejas, kata pegawai perlindungan awam negeri Chiapas. - AFP/UTUSAN
Remaja perempuan hilang sejak Isnin ditemui mati

Oleh FADZLY IZAB
 
 *BAPA mangsa, Mohamad Sahak (kiri) tidak dapat menahan kesedihan sambil ditenangkan oleh jiran selepas kehilangan anaknya, Aimi Hamizah yang ditemui mati dibunuh di Kg. Solok Gaong, Ayer Molek, Melaka, semalam.
MELAKA, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak Isnin lalu, terhurai apabila mayatnya ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini malam tadi.

Mayat dipercayai gadis yang hilang itu, Aimi Hamizah Mohamad, 14, ditemui sekumpulan remaja kampung yang bermain bola sepak di kawasan lapang berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 7 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumahnya di Taman Desa Molek pada Isnin lalu selepas tamat kelas mengaji al-Quran pada pukul 7.40 malam.

Timbalan Ketua Siasatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, polis percaya mayat yang dijumpai adalah remaja perempuan berkenaan berdasarkan pengecaman yang dibuat oleh ahli keluarganya.

Menurut beliau, susulan kejadian itu polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai rakan mangsa di sebuah rumah di Ayer Molek pukul 3.30 petang ini bagi membantu siasatan.

Gunarajan berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang atas sekeping papan lapis dan masih lengkap berpakaian baju kurung warna merah jambu sama seperti yang dipakainya ketika keluar rumah Isnin lalu.

"Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Gunarajan berkata, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Sahak, 58, ketika ditemui berkata, anaknya tidak pulang selepas habis mengaji al-Quran di sebuah rumah kira-kira 100 meter dari rumahnya.

"Kebiasaannya, dia akan pulang ke rumah pada pukul 9 malam, tetapi pada hari itu sehingga pukul 10 malam dia masih tidak pulang.

"Risau dengan keadaan itu, saya bersama anak lelaki, Abu Sufian, 17, terus mencarinya di sekitar kawasan rumah termasuk di tempat mangsa mengaji namun diberitahu oleh ustazah yang mangsa ada datang ke kelas itu tetapi kelas dibatalkan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Jelas Mohamad, dia bersama anak lelaki serta beberapa rakan anaknya kemudian terus mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut termasuk di beberapa kawasan lain sehingga esok namun tidak berjaya menemui mangsa dan terus membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua.

"Semalam saya merasa tidak sedap hati setelah polis datang ke rumah kira-kira pada pukul 7 malam dan memaklumkan bahawa mereka ada menjumpai mayat seorang remaja perempuan lalu meminta saya untuk membuat pengecaman.

"Saya dan isteri, Maimunah Ismail, 44, serta dua anak lelaki, Abdul Mutalib, 20, dan Abu Sufian terus ke tempat kejadian kira-kira empat kilometer dari rumah untuk membuat pengecaman.

"Sampai di tempat kejadian, saya tidak mampu membuat pengecaman kerana masih terkejut namun dimaklumkan oleh isteri dan anak lelaki bahawa mayat remaja perempuan itu adalah Aimi Hamizah berdasarkan pakaian dan barang kemas yang masih ada bersamanya," katanya sedih.

Menurut Mohamad, dia reda dengan pemergian anaknya itu tetapi tidak dapat menerima hakikat anaknya meninggal dunia dalam keadaan sedemikian.

"Saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara itu terhadap anak gadisnya akan menerima balasan setimpal," katanya. - UTUSAN
Doktor didakwa cabul pesakit

Oleh ROKIAH ABDULLAH
 
 *MANGSA dan suaminya (kanan) ketika ditemui di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Seorang peniaga tidak menyangka menjadi mangsa cabul seorang doktor yang dikenalinya selama 20 tahun di klinik lelaki itu di Simpang Pulai pada 22 Mei lalu.

Mangsa yang berusia 49 tahun dari pekan Lahat di sini mendakwa, beberapa hari sebelum kejadian, doktor berusia lingkungan 60-an itu mengundangnya untuk menjadi tetamu pada program mewarna yang dianjurkan di klinik berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa berkata, dia tidak dapat hadir ke acara tersebut kerana mempunyai urusan perniagaan di luar kawasan dan hanya datang berjumpa suspek pada hari kejadian kerana mahu membawa beberapa pekerja asing untuk pemeriksaan Agensi Pengawasan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) di situ.

"Semasa bertemunya, doktor itu mengajak saya ke tingkat atas klinik kononnya untuk menunjukkan lukisan-lukisan pada program berkenaan. Namun sebaik sampai di luar bilik Xray, saya langsung tidak melihat sebarang lukisan, yang ada hanya nama kanak-kanak itu yang ditulis atas kertas dan diikat pada sepohon pokok.

"Dalam keadaan saya masih terpinga-pinga, doktor itu tiba-tiba memeluk saya dari belakang sebelum memusingkan badan saya ke depan, mencium serta cuba menyelak baju yang saya pakai. Terkejut dengan tindakan suspek, saya meronta-ronta dan akhirnya dapat melepaskan diri," dakwanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ibu kepada empat orang anak itu mendakwa, sebaik berjaya melepaskan diri, dia terus turun ke tingkat bawah klinik dan duduk di sebelah seorang pekerja Bangladesh yang sedang menjalani pemeriksaan Fomema.

"Pekerja klinik yang berada di kaunter dapat melihat keadaan saya tidak tentu arah ketika itu dan dia jugalah yang membantu saya mengira jumlah bayaran untuk rawatan Fomema pekerja asing apabila saya tidak lagi dapat mengira dengan betul akibat trauma," katanya.

Mangsa mendakwa, akibat trauma dengan kejadian itu, dia hanya membuat laporan mengenai kejadian tersebut lima hari kemudian di Balai Polis Simpang Pulai kelmarin sebaik sahaja kejadian itu diceritakan kepada suaminya.

Wanita itu mendakwa kejadian berkenaan juga bukanlah pertama kali berlaku kerana pada tahun lalu, doktor yang sama pernah cuba untuk mencabulnya semasa dia mendapatkan rawatan di situ.

Bagaimanapun, jelas mangsa, tindakan itu terhalang apabila pekerja klinik itu tiba-tiba masuk untuk menyerahkan sesuatu kepada doktor tersebut.

"Ketika itu saya tidak membuat laporan polis kerana melihat doktor berkenaan bersikap profesional apabila mendapatkan rawatan selepas itu.

"Mungkin dia tersilap dan sedar kesilapannya. Jadi saya merasakan perkara tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana kami telah lama mengenali antara satu sama lain sehinggakan semasa saya mengandung dan anak-anak saya sakit, dia yang merawat kami," katanya.

Mangsa berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes itu bahawa polis mengambil keterangan doktor dan pekerja kliniknya itu dan kes tersebut masih dalam siasatan. - UTUSAN
Hukuman kekal, Khir Toyo fail notis rayuan

Oleh NORLIZAH ABAS
 
 *MOHAMED Khir Toyo bersama isteri, Zahrah Kechik ketika hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, KHAMIS, 30 Mei, 2013; Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan hukuman penjara setahun atas kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit.

Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela yang mewakilinya memberitahu mahkamah, notis rayuan akan difailkan selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari esok.

Pihak pembelaan memfailkan notis rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali menolak rayuan Mohamad Khir terhadap sabitan dan hukuman.

Kuorum berkenaan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember dua tahun lalu yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan akan diserahkan kepada kerajaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan perayu agar pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan. Pihak pendakwaan membantah penangguhan tersebut.

Mohamad Khir, 47, merayu keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkannya terhadap tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik, 47, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Hakim Azahar ketika membacakan keputusan berhubung sabitan menyatakan, hakim bicara Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) betul ketika mendapati perayu bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Hakim Abu Samah sewaktu menyampaikan keputusan berhubung hukuman berkata, walaupun hukuman merupakan pertimbangan mahkamah, namun panel itu berpendapat tidak wajar untuk mereka mengubah keputusan terdahulu.

Terdahulu, Hakim Azahar menggariskan enam alasan mengapa panel itu menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ujar beliau, mahkamah berpuas hati bahawa Mohamad Khir selaku menteri besar yang juga berjawatan Pengerusi dan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan penjawat awam dan memenuhi intipati pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim Azahar turut menyatakan, pihaknya bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa tidak berlaku salah laksana keadilan walaupun butiran berhubung penjawat awam tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

Pada hemat panel itu, kesilapan tersebut tidak menyebabkan prejudis ke atas perayu atau menjadikan sabitan terhadapnya tidak sah.

Dalam keputusan itu, mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa perayu membeli hartanah itu pada harga yang berpatutan iaitu RM3.5 juta mengikut nilai pasaran pada 2007.

Mahkamah berpuas hati harga RM3.5 juta yang diperolehi daripada Shamsuddin Hayroni bukan atas dasar willing buyer willing seller tetapi kerana saksi pendakwa kedua itu bimbangkan kedudukannya sebagai ahli perniagaan di negeri itu akan terjejas jika menawarkan harga yang lebih tinggi.

Panel tersebut turut berpuas hati bahawa Shamsuddin bukan rakan sejenayah dan dia tiada pilihan selain menawarkan harga berkenaan bagi mengelakkan perniagaannya terjejas kerana dia mempunyai banyak urusan perniagaan melibatkan Mohamad Khir selaku menteri besar.

Mahkamah turut berpuas hati hakim bicara menggunakan pendekatan yang tepat ketika menolak pembelaan perayu dan tiada sebab bagi panel itu mengubah keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee ketika berhujah untuk meringankan hukuman memohon mahkamah menimbang bahawa anak guamnya merupakan pesalah pertama dan memberikan kerjasama ketika siasatan dijalankan.

Beliau menyatakan, bapa kepada enam anak berumur antara tiga dan 21 tahun itu banyak menyumbang kemajuan Selangor dengan menarik pelaburan bernilai hampir RM10 bilion setahun ketika berkhidmat sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud dan Mohd. Dusuki Mokhtar memohon mahkamah agar tidak mengganggu hukuman yang diputuskan kerana kes itu merupakan kes kepentingan awam.

Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui Shamsuddin yang merupakan pengarahnya.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007. - UTUSAN
Saari Sungib diperintah bayar RM300,000

SHAH ALAM, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Hulu Klang, Saari Sungib diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) setelah kalah dalam satu kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini.

MAIS dan Pemegang Amanah LZS selaku pihak plaintif mengemukakan saman itu terhadap Saari berhubung kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Siasat Pindah Wang LZS' yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 17 Mac 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi tersebut pada 14 Mei lalu.

Beliau berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif yang diwakili peguam daripada firma guaman, Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua berjaya membuktikan kewujudan elemen fitnah melalui kenyataan Saari dalam akhbar berkenaan.

''Sehubungan itu, Hakim Datuk Suraya Othman telah mengarahkan Saari membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi keterlaluan RM100,000 kepada plaintif.

''Beliau juga perlu membayar kos sebanyak RM30,000 dan faedah pada kadar lapan peratus ke atas jumlah RM300,000 dari tarikh keputusan sehingga penyelesaian penuh,'' katanya dalam kenyataan tersebut.

Memetik kenyataan dalam akhbar Sinar Harian pada 17 Mac 2009 itu kata Mohamad Adzib, Saari mendakwa berlaku pemindahan wang zakat yang tidak diagihkan oleh LZS bernilai jutaan ringgit ke satu akaun lain pada 11 Disember 2008. - UTUSAN
Tiga dijel 28 tahun, sebatan rogol ibu 7 anak

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
 
 *Y.K. Gajehindran, J.T.Malvin dan P. Aravinthiran dibawa keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah merogol seorang ibu kepada tujuh anak di Mahkamah Sesyen Klang, semalam.
KLANG, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Seorang ibu tujuh anak dirogol di dalam semak, dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dan kemaluannya ditusuk dengan kayu ketika dalam perjalanan menuju ke kilang tempatnya mencari rezeki, tiga tahun lalu.

Hari ini, tiga lelaki yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu menerima balasan apabila dihukum penjara 28 tahun dan sebatan antara 14 dan 20 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd. Puzi menjatuhkan hukuman itu terhadap eksekutif akaun, Y.K. Gajehindran, 26; penghantar surat, J.T. Malvin Isaac, 24; dan pelajar kolej, P. Aravinthiran, 22, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan itu.

Menurut hakim tersebut, mahkamah mendapati kesemua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan kerana pembelaan mereka bersifat penafian semata-mata.

Beliau berkata, tertuduh keempat kes itu telah mengaku bersalah pada 2010 bagi tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa dan selepas itu dijadikan saksi pendakwaan.

''Keterangan daripada tertuduh keempat selari dengan keterangan mangsa dan mahkamah tiada alasan untuk tidak mempercayai keterangan mereka,'' ujar Ahmad Fairuz.

Bagi tuduhan merogol mangsa yang berusia 38 tahun itu, ketiga-tiga mereka dipenjara 28 tahun dan sebatan lima kali setiap seorang.

Gajehindran dan Aravinthiran yang didakwa memaksa mangsa melakukan seks luar tabii dipenjara 18 tahun dan sebatan 14 kali manakala Malvin dipenjara 10 tahun dan sebatan dua kali bagi tuduhan cuba melakukan perbuatan sama.

Malvin juga dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali atas kesalahan memasukkan sebatang kayu ke dalam kemaluan mangsa sehingga wanita itu terpaksa menerima 10 jahitan.

Kesemua lelaki terbabit turut dihukum penjara 15 tahun dan sebatan lima kali bagi tuduhan mendatangkan cedera parah kepada mangsa menggunakan ranting kayu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan mereka di kawasan semak berdekatan Jalan Kebun Nenas 2H/KS7, Bandar Putera Klang di Klang pada pukul 6.45 pagi, 11 Februari 2010.

Mereka turut dihukum penjara tujuh tahun bagi kesalahan menculik dan melarikan wanita itu pada waktu sama di ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di sini.

Kesemua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.

Secara keseluruhan, mereka dipenjara 28 tahun sementara bagi hukuman sebatan, Gajehindran dan Aravinthiran, masing-masing disebat 14 kali dan Malvin 20 kali.

Ahmad Fairuz turut tidak membenarkan permohonan peguam bela V. Ramavelu yang mewakili kesemua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana tiada keadaan istimewa dalam kes itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan Siti Noorbaya Jamil.

Mangsa yang hadir ke mahkamah bagi membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) berkata, selepas kejadian ngeri itu, dia tidak keluar dari rumahnya selama setahun setengah kerana mengalami trauma yang teruk.

''Saya malu untuk keluar dari rumah, bibir saya terkoyak kerana dibelasah, saya terpaksa minum menggunakan straw selama dua minggu dan mengalami kesukaran untuk makan.

''Apa dosa saya pada mereka sehingga mereka sanggup memperlakukan saya seperti binatang?'' katanya sambil menangis.

Mangsa juga mendakwa mengalami masalah untuk melakukan hubungan intim dengan suaminya.

Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu, mangsa ternampak kereta dengan bonet terbuka dan seorang lelaki berdiri di sebelah kereta seperti sedang membaikinya.

Lelaki terbabit kemudian berlari ke arah mangsa lalu mengheretnya masuk ke dalam kereta yang ada tiga lelaki lain di dalamnya.

Kesemua lelaki tersebut mengoyak pakaiannya, memaksa dia melakukan seks luar tabii dan merampas beg tangannya.

Selepas itu, dua daripada lelaki itu pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang milik mangsa manakala dua lagi mengawalnya.

Mangsa kemudian dibawa ke dalam semak dan dipaksa melakukan seks luar tabii serta kemaluannya ditusuk dengan kayu sebelum ditinggalkan di situ. - UTUSAN
Usaha tingkatkan daya saing

 Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Malaysia akan berusaha untuk mencapai keseimbangan fiskal demi kelestarian ekonomi bagi memastikan dipertingkatkan daya saing, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Antara lain, katanya, matlamat itu akan dicapai melalui pengurangan belanjawan defisit dan juga meningkatkan inisiatif semakan kawal atur bagi memodenkan persekitaran perniagaan di negara ini.

"Asas ekonomi Malaysia yang terus kukuh, dirangsang kekukuhan ekonomi domestik membolehkan kerajaan menurunkan belanjawan defisit kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2012 berbanding 6.7 peratus pada 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, walaupun turun dua kedudukan di dalam faktor kecekapan kerajaan di dalam IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) 2013.

Malaysia berada pada kedudukan yang baik di kalangan 15 negara utama, dengan mencatatkan peningkatan di dalam Dasar Fiskal dan Kewangan Awam.

IMD atau Institut Pembangunan Pengurusan adalah satu institusi perniagaan global terkemuka yang berpangkalan di Switzerland.

Menurut WCY 2013, Malaysia berada pada kedudukan ke-15 daripada 60 ekonomi berbanding dengan kedudukan ke-14 daripada 59 ekonomi pada tahun lepas.

Pada kedudukan ke-15, Malaysia terus berada di hadapan Australia (ke-16), United Kingdom (ke-18), China (ke-21), Korea (ke-22), dan Jepun (ke-24).

"Adalah menggalakkan bahawa Malaysia telah meningkat di dalam tiga daripada faktor ini: Prestasi ekonomi (ke-7), Kecekapan Perniagaan (ke-4) dan Infrastruktur (ke-25)," katanya.

Katanya kerajaan telah melaksanakan banyak inisiatif bagi meningkatkan daya saing negara seperti Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi serta pembaharuan prosedur bagi meningkatkan kerangka kawal atur.

"Inisiatif ini akan dipertingkatkan lagi bagi memastikan bahawa matlamat ekonomi berpendapatan tinggi dicapai," katanya. - UTUSAN
Perolehan DRB-Hicom naik 91%

Oleh FADZIL ZAINOL
 
 Mohd. Khamil
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Konglomerat tempatan, DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 91 peratus kepada RM13.13 bilion, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2013 setelah mengambil kira pendapatan Proton Holdings Bhd. (Proton).

Tahun kewangan lalu, pendapatan mereka berjumlah RM6.88 bilion.

Melalui satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pencapaian itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi Proton turut dibantu unit hartanah, aset dan pembinaan serta perkhidmatan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai DRB-Hicom berjumlah RM1.037 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013, adalah lebih rendah berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM1.821 bilion.

Pada tahun kewangan sebelumnya, keuntungan DRB-Hicom telah mengambil kira faedah sebanyak RM1,278 bilion hasil pembelian Proton pada harga yang rendah berbanding nilai aset sebenar pengeluar kereta nasional tersebut.

Untuk tahun kewangan 31 Mac lalu, konglomerat itu hanya memperoleh faedah hasil penjualan Hicom Power Sdn. Bhd. kepada MMC Corporation Bhd. bernilai RM412.6 juta.

Jika tidak mengambil kira perkara tersebut, DRB-Hicom mencatatkan keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM624.8 juta berbanding RM543.4 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Mengulas mengenai prestasi itu, Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, syarikatnya akan terus mempelbagaikan aktiviti bagi mengukuhkan prestasi operasi dan kewangan mereka.

"Walaupun sektor automotif dilihat penting kepada syarikat, kami tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sektor tunggal.

"Pencapaian unit perniagaan yang lain turut menggambarkan tahap konsistennya kepada keseluruhan aktiviti syarikat," katanya dalam kenyataan itu.

Nilai aset sesaham DRB-Hicom telah melonjak kepada RM3.67 sehingga 31 Mac 2013. - UTUSAN
TM rekod pendapatan RM2.42 bilion

 Zamzamzairani
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.42 bilion bagi suku pertama tahun ini berakhir 31 Mac, iaitu naik sedikit berbanding RM2.38 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut TM dalam satu kenyataan hari ini, pencapaian itu dipacu oleh perkhidmatan Internet dan data, khususnya UniFi.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) TM susut 14.9 peratus kepada RM213.2 juta disebabkan kerugian tukaran wang asing yang belum nyata atas pinjaman berjumlah RM18.6 juta, berbanding keuntungan sebanyak RM67.9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, secara keseluruhan, syarikatnya menunjukkan perkembangan yang baik khususnya UniFi dengan menjadi kunci utama, dengan peningkatan 68.4 peratus kepada lebih 532,000 pelanggan pada suku pertama 2013 berbanding setahun lalu.

Bagi suku tahun pertama, perkhidmatan Internet TM membawa hasil sejumlah RM644 juta, hasil data meningkat kepada RM585 juta.

"Prestasi suku pertama kami menggambarkan keadaan perniagaan yang bermusim. Bagaimanapun, kami percaya yang kami telah memiliki asas yang mantap untuk mendapat perolehan yang lebih baik.

"Januari lalu, kami telah meluaskan liputan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) ke kawasan-kawasan yang tidak diliputi HSBB (UniFi) dengan memperbaiki kualiti infrastruktur tembaga, dan memperkenalkan lebar jalur 8 Megabit sesaat (Mbps) untuk pakej-pakej Streamyx dan jalur lebar perniagaan," kata Zamzamzairani dalam kenyataan itu lagi.

Tambah beliau lagi, prospek TM bagi tahun ini kekal positif dengan sokongan lebih 560,000 pelanggan UniFi setakat ini.

Syarikatnya turut menjangka kadar langganan jalur lebar yang lebih tinggi dengan pengenalan Streamyx 8Mbps dan perluasan UniFi berdasarkan permintaan.

Pada bulan April 2013, TM juga telah menandatangani perjanjian usahasama dengan UEM Land Berhad bagi menawarkan kediaman-kediaman tersedia UniFi kepada lebih 4,000 kediaman di Nusajaya.

Tanpa mengambil kira perkara-perkara di luar jangkaan, Lembaga Pengarah menjangkakan prospek pertumbuhan TM bagi tahun kewangan semasa kekal positif. - UTUSAN
Syria dapat peluru berpandu

 *SYRIA telah menerima peluru berpandu anti-pesawat pertama S-300 dari Rusia. - AGENSI
BEIRUT, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Syria telah menerima penghantaran pertama peluru berpandu anti-pesawat dari Rusia, kata Presidennya, Bashar al-Assad.

"Kumpulan pertama peluru berpandu Rusia S-300 telah tiba, selebihnya akan tiba tidak lama lagi,'' kata beliau dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini.

Rusia yang merupakan sekutu kuat Assad mempertahankan penghantaran peluru berpandu itu dan menyifatkan mereka telah memenuhi kontrak senjata sedia ada dengan Syria.

Assad dalam wawancara bersama televisyen penyiar Hezbollah, al-Manar berikrar bahawa Syria akan 'bertindak balas dengan segera terhadap sebarang pencerobohan terbaharu Israel' ke atas Syria.

Israel melakukan serangan udara ke atas Damsyik bulan lalu dengan mendakwa ia disasarkan kepada konvoi peluru berpandu Iran yang akan dihantar kepada Hezbollah.

Dalam pada itu, akhbar Lebanon, al-Akhbar yang memetik kenyataan Assad berkata, keseimbangan kuasa tentera Syria kini telah memihak kepada tentera kerajaan selepas apa yang disifatkannya 'pencapaian hebat' di medan pertempuran.

Assad pada masa sama tidak menafikan peranan pergerakan Hezbollah dalam pertempuran bersama tentera kerajaan namun berkata, tentera Syria masih menerajui pertempuran dengan pemberontak.

''Terdapat beberapa kumpulan daripada Hezbollah di kawasan bersempadan Lebanon, namun tentera Syria masih memberi perintah dan berperang menentang kumpulan pemberontak di Syria,'' katanya. - DPA/UTUSAN