My Add

Friday 25 April 2014

AMK gesa SPRM sekali lagi siasat Tun Daim

MELAKA, KHAMIS, 24 April, 2014: Angkatan Muda Keadilan (AMK) sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berikutan pengakuan terbaharunya semalam bahawa beliau memiliki bank di Tanzania.

Ketuanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pengakuan tersebut sekali gus mengesahkan dakwaan awal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Tun Daim memiliki kekayaan luar biasa.

''Tentunya pengakuan terkini ini boleh dijadikan asas untuk mengheret beliau (Tun Daim) ke proses penyiasatan dan pendakwaan," katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat laporan ke pejabat SPRM negeri, Alai, di sini hari ini.

Jelas Shamsul Iskandar, maklumat sedia ada yang boleh diakses oleh semua mengesahkan bahawa Daim di bawah ICB Banking Group turut menaungi operasi beberapa buah bank di luar negara termasuk Hungary, Albania, Mozambique dan Sierra Leone.

Di samping itu ujarnya, Daim turut mempunyai kepentingan dalam Bank Internasional Indonesia dan Bank Bumiputera Indonesia yang mana beliau memegang lebih separuh pegangan sahamnya.

''Justeru, saya melalui AMK menggesa SPRM untuk segera menjalankan siasatan dan mengheret Daim ke muka pengadilan sekiranya ia berhubung kait dengan manipulasi dana kerajaan khususnya sewaktu beliau menganggotai Kabinet selaku Menteri Kewangan," tegasnya.

Pada Mac lalu, Anwar bertindak menyerang Daim dengan menuduh bekas Menteri Kewangan itu mempunyai wang berbilion-bilion dalam bank di Afrika dan Eropah Timur.

Tindakan Anwar itu dipercayai ada kaitan dengan ucapan Daim yang tidak menyebelahi pakatan pembangkang termasuk menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut sebagai pelakon hebat yang bijak mengaburi mata penonton.

Dalam reaksi terbaharu kelmarin, Daim menyifatkan Anwar sebagai ‘kaki goreng’ kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh tentang penyelewengan yang beliau lakukan di luar negara.

Kata Daim, jika Ketua Pembangkang itu mempunyai bukti berhubung perkara itu, Anwar sepatutnya membuat laporan terperinci kepada pihak berkuasa dan bukannya memperbesar-besarkan isu yang tidak sahih.

“Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

“Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini ‘kaki goreng’," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment