My Add

Tuesday 22 April 2014

Hamdeen cabar Abdel Fattah
 * GAMBAR fail tanpa tarikh, menunjukkan para penyokong memegang poster calon kegemaran masing-masing iaitu Abdel Fattah al-sisi (kiri) dan Hamdeen Sabbahi (kanan) di Kaherah, Mesir. - AFP
KAHERAH, ISNIN, 21 April, 2014: Pilihan raya Presiden Mesir bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu apabila bekas ketua tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dijadual merebut jawatan tersebut dengan pencabarnya, Hamdeen Sabbahi, seorang pemimpin berhaluan kiri.

Abdel Fattah al-Sisi merupakan calon popular untuk memenangi pilihan raya itu selepas popularitinya melonjak selepas menggulingkan Mursi, Presiden pertama negara ini yang dipilih oleh rakyat dan merupakan orang awam.

Hamdeen pula yang mendapat tempat ketiga semasa pilihan raya Presiden 2012, dilihat penyokongnya sebagai satu-satunya pemimpin yang mewakili aspirasi bagi mereka yang terlibat dalam kebangkitan rakyat menentang Hosni Mubarak pada 2011.

Pencalonan Hamdeen dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk mengatasi kebimbangan bahawa Abdel Fattah akan mengembalikan zaman pemerintahan Mubarak.

"Kita sedang berhadapan dengan satu situasi jelas iaitu terdapat seorang calon yang dapat membawa kita ke masa depan dan satu lagi akan membawa kita ke zaman lampau," kata jurucakap Hamdeen, Amr Badr merujuk kepada pemerintahan tentera Mesir.

Ikhwanul Muslimin yang diwakili Mursi pada pilihan raya sebelum ini tidak mengumumkan sebarang calon selepas pergerakan itu disenarai hitam kerajaan sebagai pertubuhan ‘pengganas’, malah turut memulaukan pilihan raya tersebut.

Menurut pertubuhan Amnesty International, lebih 1,400 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan pihak berkuasa yang menjadikan penyokong Mursi sebagai sasaran, manakala lebih 15,000 lagi dipenjara. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment