My Add

Friday 25 April 2014

Hudud: Gerakan ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 April, 2014: Pemuda parti Gerakan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Pas masih meneruskan rancangan membentangkan usul di Dewan Rakyat berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, pihaknya terpaksa bertindak demikian bagi mempertahankan undang-undang Perlembagaan Persekutuan yang telah digunakan sejak 57 tahun lalu.

Menurutnya, usaha Pas itu juga dikhuatiri akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah berbeza di negara ini berikutan pelaksanaan hukum hudud di negeri tersebut kelak.

“Ini bukan lagi soal politik, negara ini akan berdepan dengan dua sistem perundangan berbeza sekiranya hudud diperkenalkan berbanding sistem perundangan jenayah sedia ada. Kami sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap usul dan pelaksanaan ini.

“Lagipun kami tidak percaya kepada DAP, walaupun mereka beria-ia menolak hudud, namun realitinya semua itu hanyalah retorik politik kerana parti itu masih dalam komponen pakatan pembangkang.

“Sekiranya Pas masih berdegil dan membawa usul itu, kami akan dapatkan perintah injuksi bagi memberhentikan usul itu. Ketika ini, biro perundangan masih dalam peringkat perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan notis tindakan undang-undang kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Yusafiza Yaakob di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Pas Kelantan membuat keputusan akan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan itu susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana negeri menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Tambah Keng Liang, hukum hudud Pas itu mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan adil dan benar kerana bersifat terbatas di Kelantan, selain akan menimbulkan banyak kekeliruan pada masa akan datang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment