Letak jawatan: Karpal elak kemelut dengan ROS
BUTTERWORTH, JUMAAT, 04 April, 2014: Keputusan Karpal Singh melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP dilihat seolah-olah cuba melarikan diri daripada masalah yang melanda parti itu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Bekas Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, tindakan Karpal itu mengundang pelbagai persoalan apatah lagi dibuat secara tergesa-gesa dan memalukan.
Beliau sebagai pemimpin besar' telah memalukan kaum Singh dan India di negara ini apabila meletakkan jawatan di sebuah kedai kopi, bukannya secara rasmi di Ibu Pejabat DAP negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Asoghan mengulas keputusan Karpal meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Sabtu lalu, ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 9 A (1) (B) Akta Hasutan 1948.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu melepaskan jawatan bukan sahaja tidak profesional malah tidak mustahil akan dicontohi pemimpin-pemimpin pembangkang lain dalam melepaskan diri daripada sebarang kemelut yang dihadapi mereka.
Dalam masa sama katanya, tindakan Karpal meletak jawatan tidak mustahak kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) masih belum disahkan ROS dan beliau hanya memegang jawatan Pengerusi yang belum disahkan.
Dalam perkembangan lain, Asoghan menggesa pihak berwajib menilai ketulenan 500 surat ketidakhadiran perwakilan DAP yang dikemukakan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook kepada ROS sebelum ini.
Menurut beliau, perkara itu memandangkan ahli akar umbi DAP membuat aduan kepada ROS tidak menandatangani surat berkenaan yang memperincikan sebab tidak menghadiri CEC pada Disember 2012.
Menurut Asoghan, sekiranya surat itu palsu, Anthony Loke harus bertanggungjawab dan meletak jawatan selaku Ahli Parlimen Seremban.
Beliau kena lepaskan jawatan jika siasatan mendapati surat itu tidak sah," katanya.
Sementara itu, mengulas sikap Lim Guan Eng yang lebih banyak berdiam diri setiap kali persoalan mengenai kesahihan CEC dibangkitkan oleh ahli parti itu, Asoghan berkata:
Ini menunjukkan Guan Eng seorang yang sombong dan tokong. Sudah lama masalah ini berlarutan dan masih tidak selesai. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment