My Add

Thursday 24 April 2014

MAINPP sokong hudud Pas Kelantan

PULAU PINANG, RRABU, 23 April, 2014: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyokong cadangan Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Parlimen.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, langkah itu me­rupakan usaha serius untuk melaksanakan syariat Islam di negara ini khususnya di Kelantan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri menambah, di samping menghukum dengan balasan yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan, undang-undang syariat Islam itu bertujuan mendidik dan mentarbiah manusia supaya menginsafi kesalahan mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak tanpa mengira fahaman politik atau agama memberi peluang kepada Kerajaan Pas Kelantan melaksanakan hukum hudud tersebut terlebih dahulu.

“Setelah dilaksanakan secara menyeluruh, prinsip-prinsip keadilan, kesamarataan dan keindahan syariat Islam itu pasti akan dapat difahami dan dihayati.

“Ini sekali gus dapat menjawab pelbagai persepsi, salah faham serta tanggapan yang kurang tepat pelbagai pihak terhadap syariat Islam yang sangat luas serta menyeluruh mencakupi segenap inci kehidupan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemelut pelaksanaan hukum hudud Pas kembali menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pakatan pembangkang selepas hasrat suci Pas itu ditentang secara terang-tera­ngan DAP.

Malah, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng semalam berkata, isu sokongan pembangkang terhadap hukum hudud tidak timbul memandang­kan parti itu tidak menyokong pelaksanaannya.

Mohd. Salleh berkata, kefahaman dan penera­ngan tentang kebaikan pelaksanaan syariat Islam perlu dibuat secara berterusan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kepada bukan Islam.

Beliau berkata, MAINPP juga sedang menggerakkan inisiatif itu dan akan menganjurkan seminar memahami syariat selain menganjurkan beberapa siri dialog dalam masa terdekat.

“Pintu MAINPP sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan, pandangan dan cadangan daripada semua pihak demi memelihara Islam serta memajukan negeri ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment