My Add

Saturday, 5 April 2014

Misi jejaki MH370 masuki fasa pencarian dalam air

PERTH, JUMAAT, 04 April, 2014: Usaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam pesawat yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama, Angus Houston berkata, dalam masa sama usaha pencarian dari udara tetap diteruskan.

Beliau berkata, kapal Ocean Shield milik tentera laut Australia dan HMS Echo milik tentera laut British akan menumpukan usaha mengesan kotak hitam itu di laluan sepanjang 240 kilometer di selatan Lautan Hindi.

"Menggunakan 'Towed Pinger Locator' (TPL) dari tentera laut Amerika Syarikat, kedua-dua kapal akan melakukan pencarian dalam satu laluan sejauh 240 km," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Ini merupakan kali pertama pencarian bawah permukaan air dilakukan dalam misi mengesan isyarat daripada kotak hitam penerbangan MH370 tersebut.

Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Bersama 658 Laksamana Pertama Peter Leavy dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, berkata usaha mengesan akan dilakukan pada kedalaman sekurang-kurangnya 3,000 meter.

Dalam usaha ini, kedua-dua kapal harus bergerak pada kelajuan yang rendah sekitar tiga knot, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment