Nafi tidak beri maklumat mencukupi
Oleh Ramli Abdul Karim
HANOI, KHAMIS, 03 April, 2014: Dakwaan bahawa Malaysia tidak memberi maklumat yang mencukupi kepada pihak berkuasa Vietnam dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ketika peringkat awal kehilangannya, adalah tidak benar.
Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Azmil Zabidi berkata, perkara itu tidak timbul kerana sejak hari pertama kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu, pihak berkuasa Malaysia sentiasa berhubung dengan kerajaan Vietnam untuk memaklumkan perkembangan terbaharu.
Menurutnya, malah Vietnam juga tidak pernah membuat dakwaan sedemikian, sebaliknya telah memberi kerjasama penuh kepada usaha SAR dalam perairan negara ini di Laut China Selatan, iaitu lokasi terakhir komunikasi MH370 dengan menara kawalan pada 8 Mac lalu.
Sejak kali pertama diberitahu mengenai insiden melibatkan MH370, kerajaan Vietnam telah mengerahkan aset-aset ketenteraannya ke lokasi kali terakhir MH370 dikesan iaitu di Laut China Selatan.
Mereka hanya menghentikan pencarian kerana selepas itu dimaklumkan kehilangan MH370 tidak melibatkan lokasi di Laut China Selatan. Ini membuktikan hubungan diplomatik yang akrab antara kedua-dua buah negara," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Vietnam mengambil keputusan menghentikan aktiviti pencarian pesawat MH370 kerana diberi maklumat bahawa tentera Malaysia kali terakhir mengesan pesawat itu melintasi Selat Melaka.
Azmi berkata, Malaysia mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan dan pertolongan daripada pihak berkuasa Vietnam sepanjang operasi SAR di Laut China Selatan sebelum ini.
Kita sangat berpuas hati dengan peranan Vietnam dalam pencarian MH370. Tetapi anda harus juga faham bahawa kita seperti mana juga Vietnam adalah negara membangun, jadi ada batasannya. Kita tidak boleh mengharapkan lebih tetapi menggerakkan apa yang ada, mengikut kekuatan yang dimiliki," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment