My Add

Thursday, 3 April 2014

Najib dan PM Australia lawat petugas operasi mencari MH370 di Perth

* PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbort (kiri) sejurus tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce Bullsbrook di Perth, hari ini. - BERNAMA
PERTH, KHAMIS, 03 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di sini hari ini, bagi meninjau lebih dekat operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Beliau tiba di pangkalan itu kira-kira 7.30 pagi dan disambut Perdana Menteri Australia Tony Abbott.

Mengiringi Najib ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamaludin Jarjis, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud.

Semalam, Zainal Abidin dalam sidang media dengan wartawan Malaysia berkata, Najib dan Abbott akan diberikan taklimat kira-kira 40 minit mengenai misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di pangkalan udara itu.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya dijadual bersarapan pagi dengan anggota pasukan mencari termasuk pasukan mencari dari Malaysia.

Zainal Abidin berkata, Najib dan Abbot kemudiannya akan ke Pusat Komanwel, Pejabat Perdana Menteri Australia, untuk bermesyuarat berhubung misi mencari MH370 dan berbincang tentang usaha memperkukuh hubungan dua hala.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment