"Perlu ambil tanggungjawab"
Oleh ADLINAHANI KHALIL
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 April, 2014: Peneraju Celcom Axiata Bhd. (Celcom) perlu mengambil tanggungjawab atas isu kualiti dan perkhidmatan syarikat itu yang berlarutan sejak sekian lama.
Sehubungan itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menggesa peneraju Celcom meletakkan jawatan kerana disifatkan gagal mengurus operasi syarikat telekomunikasi itu dengan baik sehingga sering mendapat aduan daripada penggunanya.
Beliau berkata, mutu perkhidmatan yang ditunjukkan oleh Celcom secara tidak langsung mencemarkan imejnya sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).
Suatu ketika dahulu, Celcom merupakan sebuah syarikat telekomunikasi paling unggul di negara ini namun mereka tidak mengambil kesempatan tersebut untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Perkara ini amat memalukan, lebih-lebih lagi Celcom membawa imej GLC dan oleh hal yang demikian, JMM menyarankan peneraju syarikat itu meletak jawatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kecaman yang diterima oleh Celcom ekoran aduan daripada beberapa pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj perkhidmatan syarikat itu yang disifatkan sebagai melampau dan tidak masuk akal.
Azwanddin berkata, perubahan ke atas peneraju Celcom perlu dibuat kerana isu kualiti dan perkhidmatan telah bertahun-tahun diperkatakan tetapi tiada jalan penyelesaian.
Menurut beliau, sudah tiba masanya peneraju Celcom diuruskan oleh mereka yang berkelayakan dan mempunyai pandangan jauh demi menjamin mutu perkhidmatan yang lebih baik agar setaraf dengan negara-negara maju.
Buat apa duduk di peringkat tertinggi jika masalah seperti bil dan mutu perkhidmatan teruk tidak dapat diuruskan dengan baik? Takkan mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan kepuasan pengguna?
Celcom diminta jangan melupakan asal usul mereka dan bagaimana dapat berkembang menjadi sebuah syarikat telekomunikasi yang kukuh ketika ini," ujarnya.
Turut senada ialah Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Daud Daros yang menyatakan Celcom perlu meneliti semula konsep pengguna adalah raja dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka agar selaras dengan jumlah caj yang dikenakan.
Beliau berkata, jika dahulu konsep pengguna adalah raja sering diamalkan dalam perniagaan, kini konsep itu tidak lagi diamalkan.
Katanya, kehendak dan kepuasan pengguna penting dalam memastikan sesuatu perniagaan itu berjalan lancar, namun kini dilihat Celcom seolah-olah mengambil kesempatan ke atas pengguna.
"Pengguna tetap akan bayar bil walaupun melambung tinggi kerana mereka memerlukan perkhidmatan telefon untuk berhubung dan melakukan pelbagai hal lain.
"Tetapi, janganlah disebabkan hal itu, Celcom dengan mudah meletakkan beban atas bahu pengguna demi mencapai keuntungan berganda," jelasnya.
Selain itu, Daud menyatakan, perkhidmatan pelanggan Celcom juga perlu lebih bijak menjawab pelbagai soalan atau kemusykilan yang diajukan oleh pengguna.
Katanya, petugas perkhidmatan pelanggan syarikat tersebut hanya memberi jawapan standard dan tidak mampu menyediakan penjelasan yang mudah difahami oleh pengguna.
Jangan samakan pemahaman pengguna dengan petugas yang sememangnya bekerja di syarikat telekomunikasi tersebut ketika memberi penjelasan berhubung masalah yang dihadapi pengguna," katanya. - UTUSAN A
No comments:
Post a Comment