My Add

Sunday 20 April 2014

Sistem kewangan Matlamat Syarak Malaysia jadi perhatian dunia - Najib

KOTA BHARU, AHAD, 20 April, 2014: Kejayaan negara ini membangunkan sistem kewangan Islam secara holistik dan komprehensif berdasarkan prinsip 'Maqasid al-Syariah' atau Matlamat Syarak kini mendapat perhatian dunia apabila menjadi rujukan penting dalam aspek pengoperasian kewangan Islam dan urus tadbir syariah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam pasaran sukuk antarabangsa dengan nilai penerbitan melebihi AS$82.4 bilion (RM267.44 bilion) pada 2013 iaitu 68.8 peratus daripada jumlah penerbitan sukuk di peringkat antarabangsa.

Aset-aset perbankan Islam pula, kata beliau, menunjukkan pertumbuhan yang begitu hebat sehingga mencapai 16.5 peratus dengan penguasaan pasaran sebanyak 25.7 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem perbankan pada 2013.

Katanya, jumlah urusniaga berasaskan mata wang asing yang dikendalikan bank-bank Islam antarabangsa juga meningkat kepada RM18.1 bilion pada 2013 berbanding RM14.6 bilion pada 2012 sekali gus memberi petunjuk bahawa urus niaga kewangan Islam berpandukan syariah kini semakin mendapat tempat di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment