Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan METRA SYAHRIL MOHAMED
![]() |
| Ahmad Bashah Md. Hanipah |
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, barangan dijual di KR1M adalah disubsidi oleh kerajaan dan sepatutnya hanya dinikmati rakyat yang layak menerima bantuan tersebut.
Menurut beliau, pada masa ini tidak ada sekatan untuk mana-mana kumpulan membeli di KR1M tetapi cuma dikawal dari segi kuantiti pembelian supaya tidak berlaku kekurangan bekalan di kedai berkenaan.
Kita sedang meneliti cadangan ini agar barangan di kedai KR1M ini sepatutnya dibenarkan dibeli oleh orang tertentu sahaja yang ada kad atau sebagainya.
Perkara ini masih dalam penelitian dan cadangan ini mungkin boleh digunakan pada masa hadapan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Idris mencadangkan kerajaan mewujudkan kad khas agar hanya rakyat yang layak dapat membeli barangan di KR1M kerana barangan tersebut disubsidi oleh kerajaan supaya dapat dijual pada harga murah.
Katanya, ini kerana pada masa ini tidak ada sekatan kepada mana-mana kelompok masyarakat termasuk warga asing pun boleh membeli barangan di KR1M.
Kad tersebut boleh diberikan kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan atau diberikan kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.
Terdahulu, semasa menjawab soalan daripada Dr. Mansor Abd. Rahman (BN-Sik), Ahmad Bashah memaklumkan, sehingga kini sebanyak 129 KR1M telah beroperasi di sebanyak 115 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Pada tahun ini, 60 KR1M lagi akan dibuka terutama di kawasan Parlimen yang masih belum mempunyai kedai tersebut sama ada di kawasan bandar atau luar bandar," katanya.
Beliau memberitahu, modal minimum RM500,000 diperlukan untuk membuka KR1M kerana operasi kedai itu tidak menjamin pulangan dalam jangka pendek.
Beliau berkata, ini kerana kadar keuntungan bagi barangan yang dijual di KR1M adalah rendah kerana harganya yang murah.
Modal minimum RM500,000 diperlukan untuk pembelian stok pertama dan stok barangan KR1M. Selain itu, modal sebanyak itu diperlukan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan termasuk menampung kos utiliti, gaji pekerja, lesen perniagaan, sewa dan sebagainya kerana operasi KR1M tidak menjamin pulangan dalam masa singkat," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment