My Add

Saturday 31 May 2014

Fasa baharu Malaysia-China

Oleh Rozaman Ismail

  * NAJIB Tun Razak menanam ‘pokok persahabatan’ di Beijing Foreign Studies University di Beijing semalam. Beliau turut merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di universiti tersebut. - - BERNAMA 
BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan fasa baharu hubungan Malaysia-China untuk tempoh 40 tahun akan datang perlu diperluaskan kepada aspek sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan. 

Beliau berkata, jika sebelum ini fokus hubungan kedua-dua buah negara itu adalah dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi, wajah 40 tahun akan datang perlu turut mengambil kira perkara-perkara tersebut.

"Demi mewajah 40 tahun akan datang, hubungan sosiobudaya kedua negara perlu diperhebat dan diperkasakan menerusi penekanan kepada aspek nilai-nilai murni sejagat.

"Kerjasama dalam bidang kemanusiaan juga perlu dibina dan diperkuatkan untuk manfaat bersama," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan, Presiden BFSU, Profesor Peng Long, Pengarah Pusat Pengajian Melayu-China BFSU, Profesor Wu Zong Yu dan Penyandang Kursi Pengajian Melayu-China universiti tersebut, Profesor Dr. Mohd Taib Dora.

Menurut Perdana Menteri. bagi mencapai matlamat itu satu mekanisme yang konkrit lagi tuntas mesti dibina mulai sekarang.

Antaranya kata beliau, memberi nilai tambah kepada Kursi Pengajian Melayu di China agar lebih proaktif dan produktif.

"Kursi yang mula diisi pada tahun 2008 itu tidak seharusnya kekal bergerak secara sama atau berada di takuk lama. Justeru kaedah dan pendekatan baharu perlu difikirkan," tambahnya.

Selain itu kata Perdana Menteri, kerjasama dalam bidang penerbitan dan penterjemahan dengan negara China perlu dipertingkatkan terutama dalam menterjemah karya-karya agung kedua-dua negara.

Kerjasama dalam bidang penyelidikan kata beliau, perlu diberi perhatian kerana banyak sumber dari China dan sejarah tamadun lamanya yang berwibawa, berkualiti serta sarat dengan maklumat tentang perkembangan politik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa.

Najib turut menyentuh mengenai bidang pengajian Melayu yang kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

"Perkembangan ini bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu," katanya.

Menurut beliau, minat tersebut bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu bahkan sudah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia.

"Di China sahaja selain BFSU, terdapat beberapa buah lagi institusi pengajian tinggi yang mempunyai dan menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu.

"Antaranya Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guangdong, Guangzhou, Universiti Komunikasi Beijing, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi dan Universiti Peribumi Yunnan," katanya.

Dalam majlis tersebut Perdana Menteri turut melancarkan tiga naskhah buku yang diterbitkan secara usaha sama antara DBP dan United Publishing House Sdn. Bhd.

Buku-buku itu adalah Kamus Cina-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment