My Add

Saturday 31 May 2014

Malaysia akan teruskan kerjasama cari MH370

 * NAJIB Tun Razak disambut oleh Xi Jinping ketika mesyuarat dua hala dalam lawatan rasmi enam hari beliau ke China sempena ulang tahun ke 40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Beijing semalam. - BERNAMA
BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan China dan negara-negara lain dalam operasi mencari pesawat MH370 bagi mencari jawapan kepada misteri kehilangan tersebut.

Najib berkata, insiden berkenaan benar-benar menguji kedua-dua negara tetapi hubungan dua hala yang kukuh dan terjalin sekian lama memberi kekuatan kepada Malaysia dan China untuk menghadapinya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri sekali lagi menyatakan komitmen untuk meneruskan operasi mencari dengan bantuan daripada China dan negara-negara lain termasuk Australia.

"Kita perlu mencari pesawat tersebut agar kita dapat mencari jawapan kepada insiden ini," katanya dalam pertemuan dan mesyuarat dua hala dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama sejam itu pelbagai perkara melibatkan hubungan dua hala dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut.

Jinping dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih di atas sambutan yang diterima ketika beliau mengadakan lawatan ke Malaysia pada Oktober tahun lalu.

Presiden China itu turut menyampaikan sembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Selain itu Jinping turut menyentuh insiden kehilangan pesawat MH370 sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu operasi mencari.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus membantu Malaysia dalam operasi mencari.

Sementara itu, pada sebelah pagi Najib melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Huawei Technologies di Taman Pelindungan Alam Sekitar Zhongguancun dekat sini.

Najib kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Nuijie, antara masjid tertua di bandar raya ini yang dianggarkan berusia 1,018 tahun.

Masjid bercirikan seni bina tradisional Cina dan Arab itu boleh menampung seramai 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Najib turut menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia berjumlah RM32,000 (AS$10,000) kepada masjid berkenaan.

Dalam satu acara lain, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhang Dejiang di Great Hall of People.

Perdana Menteri dan rombongan adalah dalam lawatan rasmi enam hari ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment