My Add

Saturday 31 May 2014

Sultan Nazrin ziarah makam almarhum ayahanda

 * SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyiram air mawar ke pusara ayahandanya Almarhum Sultan Azlan Shah di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak selepas menunaikan solat Jumaat, semalam. - BERNAMA
KUALA KANGSAR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah di sini buat kali pertamanya selepas diisytihar sebagai Sultan Perak Ke-35, semalam.

Baginda yang berangkat sama dengan Raja Kechil Tengah Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah serta beberapa kerabat diraja lain turut meluangkan masa menziarahi makam ayahandanya, Sultan Azlan Shah serta makam adindanya, Raja Datuk Seri Ashman Shah di Makam Diraja Kuala Kangsar yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut.

Raja Ahmad Nazim Azlan Shah merupakan anak sulung kepada Raja Datuk Seri Ashman Shah yang mangkat pada 30 Mac 2012 akibat serangan asma.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Terdahulu, Imam Masjid Ubudiah, Helmi Ibrahim sewaktu membacakan khutbah Jumaat berkata, seluruh rakyat negeri ini masih bersedih dengan kemangkatan Sultan Azlan Shah kelmarin yang telah memerintah Perak sejak 9 Disember 1985.

Beliau berkata, walaupun kemangkatan Sultan itu sama dengan kematian seorang rakyat biasa, namun dari sudut kesannya amat dirasai memandangkan pemerintah negeri itu mempunyai kedudukan tersendiri selain mempunyai tanggungjawab besar terhadap agama dan rakyat.

"Di Malaysia, Raja-Raja Melayu bukan sahaja berperanan sebagai ketua negeri malah ketua agama Islam bagi negeri yang ditadbir oleh baginda.

"Dengan merujuk Perlembagaan Persekutuan, antara kewajipan penting selaku ketua utama negeri ialah memelihara kesucian Islam yang juga merupakan salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu," katanya.

Sementara itu, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr. Muhammad Afifi yang mengepalai solat Jumaat pula memohon agar Almarhum Sultan Azlan Shah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Beliau turut mendoakan agar tampuk pemerintahan baharu di bawah Sultan Nazrin akan terus mendaulatkan Islam dan keadilan, sesuai dengan nama 'Muizzuddin' yang membawa makna penyokong agama.

Sultan Nazrin dan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah kemudiannya turut bersalaman dengan kira-kira 500 ahli jemaah masjid tersebut selepas solat Jumaat.

Di Makam Diraja Kuala Kangsar, baginda dan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah menghadiri bacaan tahlil ringkas sebelum kedua-duanya menyiram air mawar ke makam Sultan Azlan Shah dan Raja Datuk Seri Ashman Shah dengan raut muka yang hiba. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment