My Add

Saturday 31 May 2014

Kemudahan lengkap faktor militan pilih Malaysia
KUANTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Infrastruktur lengkap dengan kemudahan perjalanan mesra pelancong menjadi faktor utama kepada anggota militan untuk memilih negara ini bagi menjalankan kegiatan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menegaskan, Malaysia bukan pangkalan utama kepada kegiatan berkenaan cuma mereka hanya mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang ada.

"Memang kita alu-alukan pelancong dan waktu sama kita memiliki infrastruktur lengkap untuk memudahkan orang ramai berhubung, melancong serta masuk dan ke luar negara.

"Tetapi semua itu disalahgunakan oleh beberapa individu dan kumpulan yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan ini untuk aktiviti jahat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan Hari Polis ke-207 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda.

Pada 15 Mei lalu, polis menahan tiga warga Sri Lanka dipercayai anggota kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam operasi khas oleh Cawangan Khas PDRM di Petaling Jaya dan Klang, Selangor.

Ketiga-tiga yang ditangkap menyusup masuk ke negara ini sejak 2004 dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebar propaganda dan mengaktifkan kembali LTTE di peringkat antarabangsa.

Khalid berkata, polis sentiasa membuka 'mata dan telinga' dalam usaha membendung kegiatan kumpulan militan daripada terus mengancam keselamatan negara dan orang awam.

"Pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kumpulan ini sebelum mereka melakukan apa-apa kemusnahan.

"Rakyat tempatan juga diingatkan supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan mana-mana kumpulan militan dan mereka yang berbuat demikian adalah dalam pemerhatian polis," katanya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya akan menstrukturkan semua Koperasi PDRM Berhad supaya dapat memberi pulangan yang lebih kepada ahli-ahlinya di seluruh negara.

"Penstrukturan semula ini akan membolehkan koperasi PDRM lebih berdaya saing dengan lain-lain koperasi di dalam negara ini.

"Selain itu, beberapa anak syarikat juga melalui perkara yang sama. Kita akan umumkan perincian mengenai perkara ini selepas mesyuarat agung koperasi ini pada 24 Jun depan," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan mewujudkan unit latihan bagi memberikan latihan khusus kepada kira-kira 14,000 kakitangan awam di dalam PDRM.

"Pelaksanaan ini tidak akan melibatkan apa-apa kos kerana kita ada bangunan yang boleh dijadikan pusat latihan. Dengan adanya pusat latihan ini akan mempertingkatkan ilmu dalam kalangan penjawat awam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment