My Add

Friday 30 May 2014

Syarikat Malaysia bina loji nyahgaram pertama di dunia

TIANJIN, KHAMIS 29 Mei, 2014: Syarikat Malaysia XianDa Group merancang melabur RMB15 bilion (RM8 bilion) bagi membuka loji nyahgaram sifar cecair bersepadu pertama di dunia di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, loji yang pertama sumpamanya di dunia itu berupaya menghasilkan satu juta tan air bersih dan 600,000 tan air suling sehari.

Beliau berkata, projek tersebut yang digerakkan oleh Malaysia adalah salah satu pelaburan paling menarik syarikat Malaysia di negara ini.

"Projek ini sangat menakjubkan kerana digerakkan oleh rakyat Malaysia, disokong oleh para pelabur Malaysia malah menggunakan teknologi Malaysia," katanya dalam ucapan semasa majlis pecah tanah projek pembuatan garam dan penyahgaraman air laut XianDa, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tianjin Municipality Party, Sun Chunlan; Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi Enersave Group, Mah Sau Cheong dan Pengerusi Lembaga Enersave Cawangan Tianjin, Victor Wee.

Najib memulakan lawatan rasmi enam hari ke China kelmarin sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Beliau bagaimanapun pulang ke tanah air pada malam Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Perdana Menteri kembali semula ke Beijing hari ini bagi menyambung lawatannya.

Menurut Perdana Menteri, projek berkenaan mampu menghasilkan garam yang mencukupi di samping mengubah kawasan dataran garam seluas 200 kilometer persegi kepada tanah yang lebih produktif.

Pada masa sama kata beliau, ekosistem di Bohai Bay juga dapat dipelihara.

Najib turut memuji pihak berkuasa Tianjin City yang berpandangan jauh serta mempunyai wawasan bagi membolehkan projek berkenaan menjadi satu kenyataan.

"Projek pembinaan loji ini adalah bukti Malaysia boleh menawarkan kepada China satu bentuk pembangunan perindustrian yang lestari dan mesra alam," katanya.

Beliau juga memuji kerajaan China yang menganugerahkan status perintis dalam pembangunan ekonomi marin kepada Tianjin.

Selain itu katanya, pemilihan XianDa sebagai satu daripada tiga projek utama menunjukkan bagaimana sumber air laut boleh dirawat untuk memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

"Saya yakin perkongsian antara pihak berkuasa Tianjin dan XianDa akan menjadi model yang kita boleh contohi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment