My Add

Saturday 31 May 2014


Malaysiakini
sengaja cari pasal - Perkasa


KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar portal berita propembangkang, Malaysiakini berhubung penyiaran satu ruangan komentar berjudul Adakah pembayar cukai menaja penglibatan Perkasa di Eropah?.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, judul ruangan tersebut tersebut secara jelasnya bersifat jahat dan sengaja ingin mencemarkan imej Perkasa.

Katanya, ahli-ahli Perkasa di seluruh negara turut tidak berpuas hati dengan penyiaran tersebut.

"Perkasa tidak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak khususnya kerajaan untuk meluaskan pengaruh dan matlamat kami ke United Kingdom (UK) dan Eropah.

"Semuanya dilakukan Perkasa sendiri dan sehingga kini kami berdiri kukuh atas usaha yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Projek yang meliputi beberapa negara Eropah termasuk UK, Ireland, Perancis, Jerman serta Belgium itu berpusat di London dan dijangka dilancarkan esok.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran rasa tidak puas hati ahli-ahli Perkasa berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, Perkasa akan meminta pasukan polis untuk berkawal di ibu pejabat Malaysiakini sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Biarpun mereka (Malaysiakini) yang cari pasal dengan Perkasa, namun kami masih lagi memikirkan soal keselamatan semua pihak.

"Ahli Perkasa di seluruh dunia melahirkan kemarahan terhadap portal berita propembangkang tersebut dan kami tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku," ujarnya.

Komentar yang disiarkan menerusi kolum Yoursay milik portal tersebut menyaksikan ada pembaca mempertikaikan usaha Perkasa untuk meluaskan pengaruhnya kepada orang Melayu di UK dan Eropah.

Seorang pembaca yang menggunakan nama Multi Racial menulis, "Saya ingin tahu pihak mana yang menaja Perkasa untuk lakukan projek tersebut dan adakah mereka mendapat duit daripada pembayar cukai? Jika ya, rakyat Malaysia perlu menggesa agar projek itu dihentikan segera".

Sambungnya lagi, 'duit pembayar cukai adalah untuk pembangunan perpaduan dan bukannya digunakan untuk menaja sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang rasis serta berniat menggugat keharmonian masyarakat'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment