My Add

Friday 30 May 2014

Tidak ada bahagian Masjidil Haram runtuh - Abdul Azeez

TELUK INTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meminta rakyat di negara ini tidak terpedaya dengan dakwaan yang tersebar bahawa ada bahagian Masjidil Haram runtuh dalam kejadian malam tadi.

Sebaliknya, kata Abdul Azeez, yang berlaku ialah insiden rempuhan apabila orang ramai berasak-asak mahu melihat ke dalam Kaabah apabila pintunya dibuka semasa struktur itu dicuci.

``Saya terima laporan daripada pihak Lembaga Tabung Haji tiada bangunan yang runtuh. Semalam hari mencuci Kaabah dan pintu Kaabah dibuka. Jadi orang ramai berpusu-pusu untuk lihat proses itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan empat orang cedera namun tidak membabitkan rakyat Malaysia.

``Saya harap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan laporan tidak benar yang tersebar di laman sosial,'' katanya yang ditemui selepas menghadiri taklimat akhir persiapan pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Azeez diminta mengulas kejadian yang berlaku di Mekah malam tadi, termasuk dakwaan terdapat bahagian Masjidil Haram yang runtuh.

Proses mencuci Kaabah termasuk bahagian dalam dilakukan dua kali setahun iaitu pada bulan Muharram dan Syaaban, bulan pertama dan kelapan dalam kalendar Hijrah.

Sementara itu, mengulas taklimat tertutup bersama Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Abdul Azeez berkata taklimat merangkumi tugas jentera parti bagi beberapa jam terakhir sebelum tempoh kempen tamat tengah malam ini.

``Seluruh jentera juga diminta keluar mengundi awal dan kemudian teruskan tugas membantu pengundi,'' katanya dan menambah taklimat yang berlangsung lebih sejam itu turut dihadiri wakil parti-parti komponen BN - BERNAMA

No comments:

Post a Comment