My Add

Friday 30 May 2014

Francais diunjur sumbang RM25.6b

Oleh NUR HANANI AZMAN

 * HASAN Malek (tengah) bersama Mohd. Latip Sarrugi (kiri) melihat skrin komputer riba pada majlis perasmian mesyuarat agung Tahunan Persatuan Francais Malaysia kali ke-19 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS 29 Mei, 2014: Kerajaan mengunjurkan industri francais menyumbang sebanyak RM25.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2015, naik 10 peratus berbanding RM24.6 bilion pada 2013.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, sebanyak RM24.6 bilion bersamaan 2.5 peratus telah disumbangkan kepada pendapatan negara melalui industri francais pada tahun lalu.

Katanya, sehingga Mei 2014, sebanyak 726 syarikat francais terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di negara ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan sehingga kini produk francais Malaysia telah diterima baik di peringkat antarabangsa apabila sebanyak 58 jenama francais melebarkan sayap ke 53 negara dengan 1,992 cawangan di seluruh dunia.

"Perkembangan ini juga disokong inisiatif kerajaan merangka Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 (PIPFN) merangkumi aspek-aspek meningkatkan daya saing francais Malaysia di dalam dan luar negara.

"Oleh itu, saya yakin dengan kerjasama erat semua penggiat industri francais, matlamat akhir PIPFN untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020 boleh dicapai," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Francais Malaysia (MFA) ke-19 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MFA, Datuk Mohd. Latip Sarrugi.

Menurut Hasan, kejayaan melalui konsep perniagaan francais sememangnya terbukti di negara-negara maju sebagai satu strategi pemasaran paling berjaya untuk mengembangkan sesebuah perniagaan.

"Negara kita juga tidak ketinggalan daripada aliran ini malah jumlah francais yang wujud menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment