My Add

Saturday 31 May 2014

Seludup diesel: Cari titik noktah

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) mendesak kerajaan segera mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi bagi mencari titik noktah terhadap kegiatan penyeludupan bahan api itu yang berleluasa ketika ini.

Pengerusi GASS, Ruslan Kassim berkata, kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan kajian semula itu kerana isu ketirisan diesel bersubsidi adalah serius dan menuntut tindakan yang proaktif bagi membendung kegiatan berkenaan.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan memikirkan kaedah dan amalan terbaik bagi memastikan kegiatan yang mengakibatkan kerugian kepada negara itu tidak terus menjadikan rakyat serta pengguna amnya, sebagai mangsa.

"GASS mendapati antara lain, amalan buruk, jijik dan hina itu berlaku dalam pelbagai bentuk yang melibatkan banyak pihak mengakibatkan berlakunya ketirisan, rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan wang rakyat dan penipuan dalam bentuk pengeluaran resit-resit palsu.

"Selain itu, berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab selain penyeludupan serta konspirasi oleh pelbagai pihak termasuk persatuan nelayan kawasan, pemilik bot, pengusaha jeti, pengusaha stesen minyak, pemilik tangki minyak haram, pemilik depot dan pengusaha kilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menggesa kerajaan agar mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi memandangkan suruhanjaya itu telah mengesan banyak ketirisan dalam proses pembahagian bahan bakar berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, saranan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian wang kepada kerajaan.

Menurut beliau, sejak lima tahun lalu, SPRM telah melakukan 90 tangkapan membabitkan penyelewengan diesel melibatkan pihak berkuasa dan kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti itu.

Mengulas lanjut, Ruslan menjelaskan, GASS melihat pelaku-pelaku yang terlibat dalam aktiviti haram tersebut bukan sahaja bertindak bertentangan dengan nilai-nilai agama tetapi juga dari segi moral dan undang-undang.

Kata beliau, GASS juga mahu penggunaan minyak subsidi tersebut hanya akan diberi kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan kerana sistem yang digunakan kini menyebabkan orang kaya turut mendapat manfaat malah, golongan itulah sebenarnya paling banyak mendapat faedah daripada pemberian subsidi berkenaan.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa sistem yang digunakan sekarang adalah 'tempang' dan perubahan secara drastik dan tegas wajib dilakukan agar 'kera di hutan tidak disusukan, anak di pangkuan tidak akan mati kelaparan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment